SEPANG: Selepas operasi pemeriksaan dijalankan dari 1.45 pagi hingga 3 pagi tadi ke atas Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2), Ketua Polis Selangor Datuk Seri Abdul Samah Mat mengisytiharkan KLIA2 selamat daripada ancaman Agen Saraf VX.

“KLIA2 adalah tempat yang selamat,” isytihar Abdul Samah pada sidang media beliau hari ini sebagaimana dilaporkan Bernama.

Jabatan Forensik Polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat dan Lembaga Pelesenan Tenaga Atom berganding bahu membuat pemeriksaan ke atas KLIA2 selepas siasatan dan analisis Jabatan Kimia mendedahkan kematian Kim Jong-nam berpunca daripada Agen Saraf VX yang ditekap oleh pembunuh ke mukanya.

Hasil pemeriksaan tersebut mendapati tiada jejak sebarang bahan toksik di KLIA berikutan pembunuhan abang tiri pemimpin tertinggi Korea Utara, Kim Jong-un iaitu Jong-nam yang dilapor menggunakan Agen Saraf VX pada 13 Februari lepas.

Analisis Jabatan Kimia mendapati agen saraf VX atau bahan kimia Ethyl S-2 Diisopropylamino Ethyl Methylphosphonothioate digunakan untuk membunuh Jong-nam, abang pemimpin Korea Utara Kim Jong-un, yang hidup secara terasing, di KLIA2 pada 13 Februari.

Abdul Samah berkata operasi tersebut merangkumi semua kawasan dan lokasi yang mempunyai kaitan dengan kes tersebut.

Pihak penyiasat membuat keputusan melakukan operasi berkenaan pada waktu tersebut kerana tidak mahu menimbulkan sebarang kekecohan pada waktu lain, ketika ramai orang berada di lapangan terbang.

Dalam perkembangan lain, menurut Bernama Ketua Polis Selangor Datuk Seri Abdul Samah Mat mengesahkan polis mengambil sampel dari kondominium di Jalan Klang Lama yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kes pembunuhan Jong-nam.

Menurut beliau, pengambilan sampel tersebut dari kondominium The Verve Suite pada Khamis merupakan sebahagian daripada prosedur siasatan.

Sampel tersebut dihantar ke Jabatan Kimia untuk dianalisis. – Sarawakvoice