Dr Hilmi: Agen Saraf VX tiada di M’sia, jika dibawa masuk sukar dikesan

PUTRAJAYA: Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya mengesahkan  Ethyl S-2-Diisopropylaminoethyl Methylphonothiolate atau Agen Saraf VX tidak pernah ditemui di Malaysia sebelum ini.

Dalam siasatan kematian Kim Jong-nam abang tiri kepada pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar pada Jumaat mengumumkan Agen Saraf VX digunakan untuk membunuh mangsa.

Analisis Jabatan Kimia mengesahkan bahan tersebut yang ditekap ke muka, membunuh mangsa kemudiannya.

Menurut Dr Hilmi, individu yang terkena Agen Saraf VX boleh mati dalam masa setengah jam akibat sukar bernafas.

Beliau juga memberitahu Agen Saraf VX sukar dikesan lebih-lebih lagi dibawa masuk ke negara ini dalam jumlah yang kecil.

Memetik Bernama, Dr Hilmi memberitahu, “ini kali pertama kita temui (Agen Saraf VX), sebelum ini tidak pernah ada.

“Kita cuma tahu mengenainya melalui pembacaan sahaja, ” katanya selepas merasmikan Seminar Perdana Pemerkasaan Perubatan Tradisional Melayu 2017.

Jong-nam berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) pada 13 Februari lepas untuk menaiki penerbangan ke Macau apabila dihampiri dua wanita yang menyapu mukanya dengan tapak tangan mengandungi cecair beracun.

Jong-nam, yang menggunakan pasport dengan nama Kim Chol, cuba mendapatkan bantuan di kaunter khidmat pelanggan di KLIA2.

Beliau kemudiannya segera dihantar ke Hospital Putrajaya, namun meninggal dunia semasa dalam perjalanan.

Dalam perkembangan lain, polis mengisytiharkan KLIA2 selamat daripada ancaman toksik Agen Saraf VX.

Operasi pemeriksaan dijalankan dari 1.45 pagi hingga 3 pagi Ahad ke atas KLIA2 dengan kerjasama Jabatan Forensik Polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat dan Lembaga Pelesenan Tenaga Atom.

Polis turut mengesahkan mengambil sampel dari kondominium di Jalan Klang Lama yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kes pembunuhan Jong-nam.

Pengambilan sampel tersebut dari kondominium The Verve Suite pada Khamis merupakan sebahagian daripada prosedur siasatan. – Sarawakvoice