Warga emas maut di hadapan hospital selepas motosikal kuasa besar rempuh kereta

0
4

KUCHING: Seorang warga emas maut selepas kenderaan yang ditumpanginya, dirempuh oleh sebuah motosikal kuasa besar dari arah tepi, berhampiran Hospital Umum Sarawak awal pagi tadi.

Pemangku Timbalan Ketua Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Negeri, Asisten Superintendan Mathew Manggie berkata, insiden berlaku sekitar jam 1.45 pagi tadi Jalan Tun Ahmad Zaidi Adruce dekat sini.

“Ketika kejadian, kereta jenis Proton Iswara yang dipandu anak mangsa dari Jalan Satok sedang menuju ke Jalan Green.

“Bagaimanapun setibanya di persimpangan lampu isyarat menuju ke Hospital Umum Sarawak, sebuah motosikal berkuasa besar jenis Honda CBR600rr yang ditunggang seorang pemuda berusia 19 tahun merempuh bahagian bahagian penumpang kirinya.

Rempuhan itu kata Mathew, menyebabkan mangsa mengalami luka parah, sebelum disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital.

“Turut cedera dua anak mangsa yang berusia 40 dan 44 tahun serta tiga cucu berusia 6 hingga 11 tahun.”

Penunggang yang berasal dari Kampung Cemerlang, Jalan Lapangan Terbang turut parah, namun keadaannya dilaporkan stabil.

Kata Mathew, identiti mangsa yang malang tersebut kemudian dikenal pasti sebagai Belat Jambu, 69 tahun dari Rumah Akup, Kampung Gran Ban, Stumbin, Sri Aman.

Punca kemalangan sedang disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – Sarawakvoice