SIBU: Gara-gara merakam foto pelajar sekolah dan mentafsirkannya sebagai aktiviti samseng di sekolah, seorang wanita berusia 20 tahun dan ipar lelakinya berusia 45 tahun ditahan polis Sibu semalam.

Ketua Siasatan Jenayah Negeri, Datuk Dev Kumar berkata, penahanan dilakukan kerana tindakan tidak bertanggungjawab itu mendatangkan keresahan penduduk di sekitar kawasan tersebut.

“Pada pagi Jumaat, kita telah dimaklumkan tentang status facebook wanita ini yang juga pemilik akaun Bini Wat Gandai.

“Status itu mendakwa sekumpulan pelajar nakal dari SMK Sibujaya sedang berhimpun secara haram di Town Villa, Sibujaya untuk bergaduh dan melakukan aktiviti jenayah.

Menurutnya, keadaan itu menimbulkan keresahan penduduk, termasuk penghuni di blok apartmen berhampiran.

Status yang disertai gambar orang awam dan pelajar berpakaian sekolah itu kemudian mendesak pihak polis mengambil tindakan segera.

Bagaimanapun kata Dev, foto tersebut diambil ketika siang hari manakala muat naik dilakukan sekitar jam 11 malam.

“Setelah dimaklumkan tentang maklumat tersebut, sepasukan anggota siasatan jenayah Sibu telah dikejarkan ke sekolah tersebut untuk melakukan siasatan.

“Siasatan mendapati tiada insiden seperti yang didakwa telah berlaku pada hari sebelumnya, atau hari-hari lain.

Sebaliknya katanya, foto tersebut diambil ketika waktu puncak ketika ibu bapa menghantar anak-anak mereka ke sekolah.

Pemilik akaun kemudian memuat naik tiga keping gambar yang turut menggambarkan anggota polis di berada di sekolah tersebut dan berterima kasih kepada mereka kerana menyelesaikan masalah yang tidak pernah wujud.

“Pihak kami tidak akan berkompromi dengan berita palsu seperti ini, dan laporan polis telah dibuat mengenai muat naik status palsu tersebut.

Sekitar jam 12 tengah hari semalam, pihak siasatan jenayah Sibu kata Dev, telah menahan kedua-dua individu terbabit.

“Wanita terbabit merupakan seorang penganggur manakala abang iparnya bekerja sebagai kerani di sebuah agensi kerajaan.

“Suspek wanita tersebut mendakwa dia melihat muat naik status tersebut dalam aplikasi WeChat iparnya, sebelum menyalinnya ke dalam akaun facebooknya tanpa menyemak kesahihan maklumat.

“Suspek lelaki pula memberitahu, dia melihat kelompok pelajar yang ramai dan menjangkakan mereka akan terlibat dalam pergaduhan.

Suspek kemudian mengambil beberapa keping gambar dan memuat naik ke dalam akaun WeChatnya.

Kedua-dua telefon bimbit suspek kata Dev lagi, telah dirampas untuk tujuan siasatan.

“Kita kesal kerana di sebalik liputan media yang meluas berhubung penahanan pengguna media sosial yang memuat naik berita jenayah palsu di negeri ini, masih ada yang berdegil dan tidak insaf.

Kes ini katanya, disiasat di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Polis Sarawak akan terus mengambil tindakan tegas dan tidak bertolak ansur terhadap berita palsu dan mengelirukan oleh pengguna media sosial, yang boleh mencipta situasi tidak tenteram dan mewujudkan ketakutan kepada masyarakat,” tambahnya lagi. – Sarawakvoice