Calon Parlimen Puncak Borneo ditentukan oleh PM dan KM – Abang Jo

KUCHING: Pengganti Ahli Parlimen Puncak Borneo, yang juga Timbalan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Dr James Dawos Mamit akan ditentukan oleh kepimpinan Barisan Nasional (BN) Negeri dan Pusat.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sarawak, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg berkata, ia akan ditentukan kelak setelah perundingan berlangsung di antara dirinya dan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak.

Beliau memberi respon demikian ketika ditanya berhubung tindakan Dr Dawos mengumumkan secara terbuka, beliau tidak akan mempertahankan jawatan kerana masalah kesihatan.

Dr Dawos pada petang semalam dipetik berkata kepada 11 Ketua Kampung di kawasan Sitang, Penrissen bahawa beliau tidak akan mempertahankan kerusinya.

Ahli Parlimen empat penggal itu, yang kini berhadapan masalah kesihatan hingga tidak boleh melihat sebaliknya menamakan Timbalan Ketua Cawangan PBB Mambong, Datuk Detta Samen sebagai pilihan peribadinya, yang layak disenaraikan sebagai calon berpotensi dan boleh menang. – Sarawakvoice