Malaysia tumpuan pelajar Arab Saudi lanjutkan pelajaran tinggi

KUALA LUMPUR: Pembukaan institusi-institusi pendidikan bertaraf dunia di negara ini semakin menarik perhatian pelajar luar negara termasuk dari Arab Saudi, yang menjadikan Malaysia negara pilihan untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi.

Beberapa ahli akademik dan pelajar Arab Saudi yang ditemui berkata antara faktor yang menjadi tarikan pelajar dari Arab Saudi ke negara ini ialah sistem pendidikan di Malaysia dan suasana keIslaman di negara ini yang sesuai dengan mereka.

Pengurus Eksekutif Universiti Antrabangsa Madinah Prof Dr Mohammad Khalifa Al-Tamimi berkata Malaysia mempunyai sistem pendidikan yang baik sementara banyak universiti di negara ini pula menawarkan pelbagai kursus serta bidang yang sesuai untuk pelajar-pelajar daripada Arab Saudi.

“Saya bersetuju bahawa Malaysia merupakan negara yang menarik dan sesuai untuk dilawati dan melanjutkan pelajaran”, katanya ketika ditemui Bernama di pejabatnya di Shah Alam, Selangor.

Mohammad Khalifa berkata kualiti sesuatu sistem pendidikan itu bergantung kepada jenis pendidikan itu sendiri dan bukan pada tempat atau negara kerana setiap negara mempunyai sistem dan bidang yang berlainan.

“Mungkin apa yang ada di Malaysia tiada di Arab Saudi begitu juga sebaliknya”, katanya ketika ditanya mengenai perbezaan sistem pendidikan di antara kedua-dua negara.

Sementara itu seorang pelajar dari Arab Saudi yang sedang melanjutkan pelajaran di peringkat ijazah kedoktoran dalam bidang sumber manusia di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Abdul Rahman Al-Syeikhi menganggap Malaysia sebuah negara Islam yang selamat untuk dilawati dan mempunyai penduduk yang baik dan sopan.

Katanya para pelajar Arab Saudi percaya bahawa Malaysia merupakan satu daripada pilihan utama untuk mereka melanjutkan pelajaran di peringkat tinggi.

“Saya telah berada di Malaysia selama tiga tahun, dan berasa amat seronok berada di sini. Saya menganggap pengalaman berada di negara ini merupakan salah satu daripada pengalaman yang terbaik dalam hidup saya.

“Saya berharap Malaysia dan Arab Saudi akan terus mengukuhkan hubungan sedia ada pada masa hadapan,” katanya.

Seorang pelajar jurusan undang-undang di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Dr Abdul Rahman Al Blowi pula berkata, sistem pendidikan di Malaysia mempunyai keistimewaan kerana menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar dalam pengajaran dan pembelajaran.

“Disebabkan Malaysia menggunakan bahasa Inggeris, kami cenderung memilih negara ini kerana bahasa itu dianggap sebagai bahasa penting ketika ini,” katanya.

Apabila ditanya tentang pengalaman sepanjang berada di Malaysia, beliau mengakui sangat kagum dengan sistem pendidikan di negara ini.

“Kami sangat kagum dengan sistem pendidikan di negara ini kerana sangat mementingkan kualiti, bagaimanapun, itulah keistimewaannya dan sangat sesuai untuk semua pelajar Islam di seluruh dunia,” katanya.

Seorang pelajar ijazah doktor falsafah (PhD) dalam jurusan undang-undang di UIAM, Mohammad Khalid Halawwi pula berpandangan tiada perbezaan antara pendidikan Malaysia dan Arab Saudi kerana kedua-duanya ialah negara Islam.

Beliau menyifatkan suasana pembelajaran di Malaysia sangat dekat dengan suasana di Arab Saudi.

“Saya pernah belajar di Kanada, England, Jordan dan kini Malaysia, semua negara tersebut berbeza antara satu sama lain tetapi saya lebih cenderung memilih Malaysia kerana suasana dan budaya yang melambangkan ciri-ciri keIslaman yang hampir sama dengan negara kami,” katanya.

Hubungan kerjasama Malaysia dan Arab Saudi dalam bidang pendidikan telah melalui sejarah panjang sejak tahun 1970-an apabila kerajaan Arab Saudi menyumbang dana sebanyak AS$170,000 bagi membina Dewan Malik Faisal, Kolej Islam (sekarang UIAM) di Petaling Jaya.

Pada tahun 1976, Arab Saudi telah bersetuju membantu Malaysia membangunkan institusi bagi menyokong aktiviti-aktiviti keIslaman sebelum kedua-dua negara menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dalam bidang pendidikan pada tahun 1978.

Di antara tahun 1976 sehingga 1983, Arab Saudi telah memberikan bantuan kewangan berjumlah 15.2 juta Riyal bagi pembinaan lima Maktab Rendah Sains MARA (MRSM).

Pada tahun 2000, Yayasan Kebajikan Raja Abdullah Abdulaziz telah menyerahkan dana sebanyak RM7.6 juta kepada UIAM bagi tujuan pembangunan universiti itu dan pada tahun yang sama pihak UIAM telah menganugerahkan anugerah ijazah kehormat doktor falsafah kepada Raja Abdullah sebagai menghargai usaha baginda dalam bidang pendidikan dan Islam.

Pada tahun 2011, satu MoU telah dimeterai di antara Kolej Permata Insan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan Yayasan Malik AbdulAziz untuk program kanak-kanak pintar dan berbakat (Mawhiba). Bernama