Saturday, December 3, 2022

Pendidikan Malaysia bakal bentuk pengetua, guru dan pelajar futuristik

Secara Rawak

NILAI: Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 bukan sahaja akan membentuk pengetua, guru besar dan guru berprestasi tinggi dan futuristik malah melahirkan pelajar berfikiran kritis dengan kemahiran berkomunikasi.

Perkara itu disuarakan beberapa pengetua dan guru besar yang ditemui Bernama baru-baru ini, sambil menjelaskan PPPM merupakan dasar pendidikan negara yang dibentuk sesuai dengan perkembangan semasa dunia pendidikan yang semakin mencabar.

Penolong Kanan Hal Ehwal Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Tinggi, Klang, Norrifin Mohd Ali berkata secara praktikalnya dasar itu perlu diaplikasi bersama Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) dalam pembelajaran untuk memastikan pelajar berfikiran holistik iaitu kritis, inovatif, kreatif dan boleh menyelesaikan masalah.

“Kita mahu pelajar yang kita lahirkan nanti mampu menyelesaikan masalah secara praktikal, klinikal dan logik. Maknanya penyelesaian itu boleh diterima akal dan penyelesaian itu kita panggil realistik iaitu bersesuaian dengan situasi semasa,” katanya.

Katanya meskipun visi dan misi yang hendak dicapai dalam PPPM dilihat agak mencabar, namun ia tidak membebankan guru sekiranya ia dapat difahami dan dikuasai dengan baik.

“Bagaimanapun sedikit penambahbaikan perlu dilakukan iaitu dari segi sistem penilaian seperti Sistem Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) yang dilaksanakan ketika ini bagi Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) dapat diteruskan dan dikembangkan dari sekolah rendah sehingga ke menengah bermula dari sekarang.

“Ini kerana penilaian melalui sistem PBS dapat menilai pelajar secara menyeluruh bukan dari segi akademik semata-mata,” kata Norrifin.

Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid di Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Molek, Johor Soh Rosie berpendapat bahawa idea dasar itu adalah terbaik namun ia memerlukan kerjasama daripada semua pihak.

“Sistem ini tidak akan berjaya tanpa sokongan padu masyarakat sekeliling. Semua orang perlu beri sokongan untuk mencapai objektif dasar ini,” katanya.

Mengenai bebanan tugas guru yang masih dipenuhi dengan kerja-kerja dokumentasi dan pemfailan, beliau berpendapat ia perlu dikaji semula.

Rosie berkata walaupun berada pada zaman digital, tetapi masih ada permintaan ‘salinany’ daripada guru-guru kerana masih banyak lagi urusan yang perlu menggunakan kertas sedangkan kita menuju sistem ‘paperless’.

Perkara itu turut disokong Penolong Kanan Hal Ehwal Murid Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Lanadron, Panchor, Muar S. Jeganathan yang menurutnya tugas guru ketika ini masih dipenuhi kerja dokumentasi dan pemfailan.

“Guru kini lebih banyak buat kerja pemfailan daripada mengajar dalam kelas… ini perlu dilihat semula dan berharap kementerian mengambil tindakan sewajarnya untuk mengatasi masalah ini,” katanya.

Berdasarkan misi dan visi Kementerian Pendidikan, PPPM yang kini memasuki gelombang kedua antara lain berobjektif melahirkan modal insan yang berkebolehan untuk belajar, bekerja, berkomunikasi dan berkebolehan menggunakan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dengan baik.

Gelombang tiga dari 2021-2025 akan memfokuskan kepada anjakan ke arah kecemerlangan dengan peningkatan keluwesan operasi. Pada pemulaan gelombang tiga ini, semua sekolah, guru dan pengetua/guru besar perlu menujukkan prestasi melebihi standard minimum. Pada masa itu, semua pengetua/guru besar mesti berprestasi tinggi kesuluruhannya. Bernama

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru