Maritim perlukan 1,000 sukarelawan jadi radar bergerak pantau perairan S’wak

0
7

MUARA TEBAS: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) memasang 14 radar di seluruh perairan, namun jumlah tersebut tidak mencukupi mengawasi perairan negara yang luas.

Pemasangan radar di perairan Sarawak kini di peringkat perbincangan dan ia dilaksana secara berperingkat-peringkat.

Mengikut perancangan radar dipasang di setiap 60 batu nautika di perairan Sarawak yang kita sifatkan berkesan meningkatkan kawalan sempadan perairan.

Ketika ini kos yang mahal tidak mengizinkan APMM berbelanja besar bagi menambah jumlah radar sedia ada buat masa ini.

Namun, APMM percaya buat masa ini, sokongan daripada “radar manusia” jauh lebih efektif dan berkesan mengawasi pencerobohan dan membanteras aktiviti jenayah yang berlaku di perairan negara.

Ketua Pengarah APMM, Laksamana Maritim Dato’ Sri Ahmad Puzi Ab Kahar dalam sidang media selepas perasmian Majlis Pelancaran Penubuhan Pasukan Sukarelawan Simpanan Maritim Malaysia (PSSMM) Sarawak menyifatkan penubuhan PSSMM memberi peluang kepada rakyat untuk menjadi mata dan telinga APMM.

Ini bermakna, sekiranya setiap sukarelawan PSSMM bergerak sebagai radar manusia, maka lebih banyak maklumat tepat dapat dikumpul.

APMM menyasar penyertaan 1,000 PSSMM di seluruh Sarawak selari dengan sasaran sama untuk mencapai nisbah 1:1 dengan jumlah anggota tetap.

Bercakap di Kompleks Maritim Tun Abang Salahuddin (Komtas), Muara Tebas pada Jumaat, Ahmad Puzi berkata, selain radar sebenar, radar manusia bergerak mencakupi ruang luas dan berada di banyak lokasi perairan seluruh negara.

Kelebihan ini memberi maklumat lebih pantas disalurkan untuk dipantau berbanding sebelum ini APMM terpaksa menyiasat serta menghantar pesawat ke sesuatu lokasi selepas dikesan radar yang menelan kos tinggi dan memakan masa lama.

Sukarelawan dalam PSSMM ini mampu menyampaikan maklumat tepat memudahkan APMM mengambil tindakan susulan di lokasi.

Sukarelawan ini diberi latihan risikan dan operasi termasuk mengenal pasti bentuk kapal, bot dan sebagainya.

Sukarelawan yang efektif dapat memberi pulangan tinggi kepada negara kerana sebahagian eksport termasuk kegiatan jenayah penyeludupan menggunakan jalan laut.

Penubuhan PSSMM diluluskan oleh kabinet pada September 2016 untuk merekrut seramai 5,000 ahli PSSMM di seluruh Malaysia.

Menjelang 2020, jumlah anggota APMM dan keahlian PSSMM meningkat kepada 10,000 anggota.

Dalam pada itu, tanpa mengabaikan radar sedia ada, APMM kini membina dua radar di Pulau Jarak dan Pulau Perak di perairan Semenanjung Malaysia.

Turut dirancang ialah membina tiga radar tambahan di perairan Sabah.

“Penggunaan radar berkesan… berbanding 40 kes rompakan lanun yang berlaku 10 tahun lalu, setakat ini negara kita merekodkan sifar rompakan lanun sejak 2009,” kata Ahmad Puzi. – Sarawakvoice