Foto jumpa Ratu Elizabeth milik Pesuruhjaya Tinggi Brunei Darussalam

KUCHING: Foto palsu yang menggambarkan seorang lelaki Melayu mengadap Ratu Elizabeth dan menyerahkan dokumen kononnya petisen yang mahukan Perjanjian Malaysia 1963 disemak semula adalah palsu.

Berdasarkan semakan, gambar tersebut merupakan milik Pesuruhjaya Tinggi Brunei Darussalam ke United Kingdom, Datuk Paduka Sri Aminuddin Ihsan.

Ia dirakamkan semasa majlis mengadap di Istana Buckingham, London pada 12 November 2014.

Semalam Setiausaha Akhbar kepada Ketua Menteri Sarawak, Ambrose Cheng membuat laporan polis mengenai muat naik status akaun facebook yang memanipulasi gambar tersebut.

Cheng menafikan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg pernah membocorkan maklumat kepada sesiapa pun kononnya petisen itu diserahkan kepada Ratu Britain itu untuk tujuan semakan berhubung hak Sarawak yang terhakis.

Beliau merujuk kepada muat naik status oleh pemilik akaun facebook atas nama Aman Shah, yang menyebut Dewan Undangan Negeri Sarawak telah sebulat suara bersetuju dengan semakan terhadap Perlembagaan Malaysia; yang turut disertai 630,000 penandatangan.

“Muat naik status itu tidak benar dan kami menyerahkan kepada pihak polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia untuk menyiasat,” tegasnya.

Ambrose membuat laporan tersebut di Balai Polis Gita sambil ditemani dua Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Buang Haji Bolhassan dan Petrus Igat Mathias. – Sarawakvoice