Dr Ngenang ketuai Unit Hal Ehwal Bukan Islam di S’wak

0
11

KUCHING: Datu Dr Ngenang Janggu, 63, anak Miri, bekas Setiausaha Tetap Kementerian Pemodenan Pertanian rasmi dilantik sebagai ketua Unit Hal Ehwal Bukan Islam dalam pentadbiran Kerajaan Negeri Sarawak.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas menyifatkan ayah kepada tiga anak ini mempunyai pengalaman luas dalam urusan pentadbiran.

Ngenang layak memegang jawatan yang merupakan yang pertama seumpamanya diwujudkan di Malaysia, ditubuhkan semasa pentadbiran Allahyarham Tan Sri Adenan Satem.

Uggah merangkap Menteri Pemodenan Pertanian dan Ekonomi Luar Bandar berkata, kerajaan memilih Ngenang mewakili unit tersebut sebagai wadah penganut bukan Islam berinteraksi dengan masyarakat Islam.

Memetik laporan Utusan Borneo, Uggah selepas Majlis Penyerahan Replika Cek di tapak projek bangunan baharu Gereja Katolik St Ann di Kota Padawan pada Khamis, Uggah yakin Ngenang dapat memikul tanggungjawab ini mengukuhkan lagi perpaduan di kalangan pelbagai kaum dan agama di Sarawak.

Sebelum ini, Uggah berkata, beliau mencari seseorang yang neutral dan calon terbaik yang dapat menangani semua isu berkaitan kumpulan agama lain.

Pada majlis tersebut, Uggah mengumumkan Kerajaan Negeri menyumbang RM2 juta kepada Gereja St Ann.

Sumbangan tersebut bagi menepati janji Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semasa mengunjungi Sarawak awal Februari lepas bahawa Kerajaan Pusat sedia menyumbang dana tersebut untuk Gereja St Ann.

Menurut Uggah Ketua Menteri Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg mengarah beliau dan Menteri Kerajaan Tempatan Datuk Dr Sim Kui Hian menyerah cek berkenaan kepada jawatankuasa Gereja St Ann.

Pembinaan Gereja St Ann bermula pada 17 September 2014. – Sarawakvoice