Agen Saraf VX dikaitkan dengan kes bunuh Kim Jong-nam

0
7
KUALA LUMPUR: ahan yang digunakan dalam kes pembunuhan abang pemimpin Korea Utara, Kim Jong-nam atau Kim Chol dikenal pasti sebagai ‘VX Nerve Agent’ yang tersenarai sebagai senjata kimia.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata ini dinyatakan dalam laporan awal analisis daripada Jabatan Kimia Malaysia yang diterima Polis Diraja Malaysia.

Dalam kenyataan hari ini, beliau berkata Pusat Analisis Senjata Kimia jabatan itu telah melakukan analisis ke atas beberapa eksibit merangkumi ‘dry swab – eye mucosa’ dan ‘dry swab – face’.

“Hasil analisis bahan uji terlibat dikenal pasti sebagai ethyl S-2-diisopropylaminoethyl methylphosphonothiolate atau VX Nerve Agent’,” katanya.

VX, kata Khalid, disenaraikan sebagai senjata kimia di bawah Jadual 1, Akta Konvensyen Senjata Kimia Malaysia 2005 dan Konvensyen Senjata Kimia (CWC) 1997.

Menurutnya, beberapa eksibit lain masih dalam proses analisis.

Mengikut laman perubatan, VX adalah salah satu senjata kimia sintetis yang menyerang sistem saraf. Ia memilik bentuk cair dan berminyak, tidak berasa dan tidak berbau dan hanya 10 miligram sahaja pada kulit cukup untuk membunuh orang.

Pada 13 Feb lepas, Jong-nam yang merupakan abang pemimpin Korea Utara Kim Jong-un, berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) untuk penerbangan ke Macau apabila dua wanita didakwa menyapu muka mangsa dengan tangan mereka yang dipercayai telah disembur bahan beracun.

Jong-nam, yang memasuki negara ini dengan menggunakan pasport tertera nama Kim Chol, meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Putrajaya.