Demokrasi Indonesia sudah kebablasan, kata Jokowi

JAKARTA: Kebebasan politik di Indonesia telah tersasar jauh sehingga menyebabkan para pelabur bimbang, kata Presiden Joko Widodo.

“Banyak orang bertanya adakah demokrasi di negara kita sudah pergi terlalu jauh. Jawapan saya ‘ya’, kita telah kebablasan.

Presiden Indonesia yang lebih dikenali sebagai Jokowi berkata, kebebasan politik telah membuka pintu untuk politik ekstrem, seperti liberalisme, fundamentalisme, radikalisme, sektarianisme, terorisme dan ideologi lain yang bercanggah dengan Pancasila,” ujarnya.

Jokowi berkata, ucapan dan kenyataan yang berbau kebencian merupakan hasil amalan tak betul tentang demokrasi sambil menegaskan ia perlu dihentikan.

Beliau menyatakan demikian pada acara pengukuhan pengurus Partai Hanura 2016-2020 semalam.

Menurut Jokowi penyimpangan amalan politik juga wujud antara lain dalam bentuk politik masalah suku, agama, ras dan antara golongan.

Bagi menangani masalah ini beliau berkata, pihak penegak undang-undang harus tegas dan tidak ragu-ragu.

Jokowi turut menzahirkan kerisauannya tentang tunjuk perasaan besar-besaran dalam beberapa bulan lalu yang disifatkannya banyak membuang tenaga dan masa serta menjejaskan pertimbuhan ekonomi.

Justeru beliau meminta semua pihak kembali bersatu menjaga pertumbuhan ekonomi. – Sarawakvoice