Jawatankuasa khas diwujudkan tangani projek sakit di Sarawak

KUCHING: Daripada 90 projek bekalan elektrik luar bandar untuk Sarawak antara 2010-2015 bernilai RM490 juta, separuh daripadanya iaitu 45 projek daripada jumlah projek itu dikategorikan sebagai “projek sakit”.

Sementara, dalam projek bekalan air luar bandar di bawah RMK-10, daripada 78 projek bernilai RM2 bilion, terdapat dua projek sakit dikesan iaitu di Tapah dan Santubong.

Meskipun demikian, semua projek sakit tersebut sudah disiapkan sebahagian besarnya sebelum pilihan raya negeri lalu.

Namun, demi pengurusan yang efisien, kerajaan perlu sentiasa memantau perkara ini tidak berulang.

Terdapat projek sakit berpunca daripada masalah tanah atau reka bentuk projek yang berubah.

Menangani isu projek sakit ini, Menteri Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob berkata, kementerian menubuhkan pasukan petugas khas memantau sesebuah projek sejurus selepas projek diumumkan kelulusan pelaksanaannya.

Beliau berkata, “kita ada wujudkan jawatankuasa khas projek sakit bagi memantau setiap perjalanan projek di negeri ini… Saya mahu jawatankuasa ini diteruskan bagi memastikan tiada sebarang masalah yang timbul.

“Jika ada sebarang masalah dalam kerja pelaksanaan projek saya mahu ia diatasi segera oleh jawatankuasa sebelum ia bertambah teruk dan bertukar menjadi projek sakit,” kata Sabri.

Pasukan petugas khas berkenaan perlu memantau setiap perkembangan projek sehingga projek tersebut siap sepenuhnya.

Hal ini membantu memastikan setiap projek pembangunan luar bandar yang diumumkan kementerian dapat dilaksanakan mengikut tempoh ditetapkan.

Sabri bercakap pada sidang media selepas Majlis Perkhidmatan Cemerlang KKLW 2016 Negeri Sarawak pada Khamis bahawa pihaknya menjalankan pemantauan berkala dari semasa ke semasa secara mingguan dan bulanan.

Projek sakit membangkit kemarahan rakyat serta merugikan pengurusan kerajaan. – Sarawakvoice