Projek perintis terap budaya penjagaan tandas di sekolah bermula Mac

PUTRAJAYA: Sebuah projek perintis bagi menerapkan budaya penjagaan tandas di sekolah akan bermula pada Mac ini, kata Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia (Operasi Pendidikan) Datuk Ahmad Tajudin Jab.

Beliau berkata beberapa buah sekolah telah dipilih bagi melaksanakan projek itu sebelum ia diperluaskan ke seluruh negara seperti yang diamalkan di beberapa negara maju seperti Jepun.

Bagaimanapun, katanya Kementerian Pendidikan memerlukan sokongan daripada ibu bapa agar projek itu dapat dilaksanakan, sekali gus budaya yang baik itu akan turut diamalkan di rummah.

“Selama ini kita cuma mengadakan pertandingan tandas terbaik tetapi ianya berbentuk one-off.

“Apa yang lebih penting adalah menerapkan amalan penjagaan tandas dengan baik dan memberi pengetahuan mengenai aspek penyelenggaraan tandas,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan Anugerah Surau Imarah Sekolah-sekolah Kementerian Pendidikan Peringkat Kebangsaan 2016, di sini pada Selasa.

Pada Ogos tahun lepas, Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata budaya menjaga kebersihan tandas sekolah secara bersama akan cuba diterapkan mulai tahun 2017 sebagai satu agenda nasional.

Mengulas mengenai cadangan Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar supaya subjek pengajian alam sekitar diperkenalkan di sekolah, Ahmad Tajudin berkata aspek alam sekitar telah diterapkan dalam beberapa mata pelajaran yang juga dikenali sebagai elemen merentas kurikulum.

Menurutnya dalam Pendidikan Abad Ke-21, aspek pengurusan kewangan, pendidikan kesihatan dan pendidikan alam sekitar adalah tiga tema yang diterapkan dalam beberapa mata pelajaran dan aktiviti ko-kurikulum.

“Bagaimanapun, kementerian akan melihat cadangan itu supaya dapat diterapkan secara lebih terancang,” katanya.

Kementerian Pendidikan juga telah mengadakan perbincangan dengan Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar pada 8 Feb lepas untuk melihat sukatan mata pelajaran berkaitan alam sekitar yang seterusnya akan diperhalusi oleh jawatankuasa teknikal bersama kementerian itu, kata Ahmad Tajudin. Bernama