Kerajaan Negeri peruntuk 2,000 ekar tanah untuk sekolah Cina

KUCHING: Bagi memastikan sekolah persendirian China di Sarawak terus mendapat sumber dana mencukupi bagi tujuan operasi jangka panjang, Kerajaan Negeri memperuntukkan 2,000 ekar tanah untuk dibangunkan.

Ketua Menteri, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg berkata, kaedah pembangunan tanah berkenaan sama ada untuk perniagaan atau perkara lain, terpulang kepada keputusan pihak pengurusan sekolah.

Dengan memberi sebidang tanah kepada pihak pengurusan sekolah persendirian Cina, hasil yang dijana daripada manfaat tanah tersebut dapat berterusan untuk jangka panjang.

Bercakap selepas menyempurnakan Ulang Tahun Ke-38 dan Tahun Baharu Cina Persekutuan Persatuan Cina Bahagian Kuching/ Samarahan/ Serian di Kuching, Abang Johari berkata Jabatan Tanah dan Survei sedia memberitahu beliau lokasi tanah terbabit yang dirasakan sesuai dalam tempoh enam bulan dari sekarang.

Abang Johari yang juga Menteri Perumahan berkata, sebelum ini Allahyarham Tan Sri Adenan Satem meluluskan tanah seluas 2,000 ekar kepada pihak pengurusan sekolah persendirian Cina.

Bagaimanapun, memandangkan lokasi tanah berkenaan agak pedalaman dan sukar diakses, beliau mempertimbangkan rayuan pihak pengurusan sekolah persendirian Cina mendapatkan tanah di lokasi baharu.

Setakat ini, Kerajaan Negeri menambah RM1 juta peruntukan untuk sekolah China semenjak 2013.

Untuk 2017, Abang Johari mengumumkan peruntukan RM6 juta untuk sekolah China. – Sarawakvoice