JOHOR BAHRU: Mangsa remaja berbasikal yang maut dalam kemalangan, Mohd Azhar Amir, merupakan anak pendiam dan rajin membantu abangnya berniaga.

Menurut ibu mangsa, Shabariah Yusof, 49, anaknya sering keluar bersama rakannya setelah selesai menolong abangnya berniaga puding di Kampung Senibong pada jam 11 malam.

“Lepas berniaga, baru dia keluar dengan kawannya berbasikal, pergi ke mana saya tak pasti…dia memang balik dalam pukul 3 pagi.

“Saya hanya mengetahui kejadian ini lepas kawan-kawan dia yang berbasikal balik ke rumah dan memaklumkan anak saya terlibat dalam kemalangan,” katanya ketika ditemui di perkarangan rumah mayat Hospital Sultanah Aminah (HSA) hari ini.

Dalam kemalangan 3 pagi itu, 8 remaja maut, 2 kritikal dan 6 lagi cedera selepas dirempuh sebuah kereta dipandu seorang wanita berusia 22 tahun di Jalan Lingkaran Dalam, di sini.

Azhar, 16, merupakan anak ke-8 daripada 10 beradik yang menuntut di Sekolah Menengah Kebangsaan Permas Jaya 3.

Sementara itu, abang mangsa, Khainurizam, 33, berkata beliau sering menasihatkan adiknya tidak melibatkan diri dalam aktiviti berbasikal tersebut.

“Saya dah banyak kali larang dia, tapi itulah budak-budak ini bila kawan dia dah ajak memang degil, kadangkala keluar rumah senyap-senyap, jadi bila ada apa-apa berlaku, kita tahu pun dari orang lain,” katanya.