Wanita kedua dalam kes bunuh Jong-Nam pegang pasport Indonesia

KUALA LUMPUR: Wanita kedua yang ditahan awal pagi ini berhubung kes pembunuhan abang pemimpin Korea Utara, Kim Jong-nam, ialah pemegang pasport Indonesia.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata suspek kedua itu bernama Siti Aishah yang dilahirkan di Serang, Indonesia, pada 11 Feb, 1992.

“Polis juga mengesahkan bahawa identiti suspek itu dikenal pasti menerusi rakaman kamera litar tertutup di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) dan wanita itu keseorangan ketika ditahan.

“Siasatan akan berterusan dan tindakan terhadap suspek akan diambil mengikut undang-undang,” kata Khalid dalam kenyataan di sini, hari ini.

Tangkapan kedua itu susulan penahanan seorang suspek wanita dikenali sebagai Doan Thi Huong, 29, yang memegang pasort Vietnam, di klia 2 pada pukul 8.20 pagi semalam.

Isnin lepas, Jong-nam, abang kepada pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un, dilaporkan berada di klia2 pada pukul 8 pagi untuk menaiki penerbangan ke Macau apabila seorang wanita dikatakan menghampiri mangsa sebelum menyerkup kepalanya dengan kain yang mengandungi cecair beracun.

Jong-nam, yang menggunakan nama Kim Chol, dilaporkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Putrajaya.

Selepas penahanan dua suspek wanita itu, Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim berkata lebih banyak tangkapan dijangkakan.

Difahamkan, polis sedang memburu empat lelaki bagi membantu siasatan kes berprofil tinggi itu.