Tiada lombong bauksit di Lundu, Sematan bakal hab pelancongan S’wak

LUNDU: Syarikat yang berhasrat melombong bauksit di Lundu dan Sematan perlu melupakan hasrat mereka kerana Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku berikrar tidak akan meluluskan sebarang permit kelulusan (AP) bagi tujuan eksport bauksit.

Justeru, tiada lombong bauksit yang dianggap mencemar kawasan berkenaan dibuka di Lundu dan Sematan yang kini dirancang untuk dijadikan hab pelancongan.

Wan Junaidi berkata, “sebagai menteri bertanggungjawab dalam soal itu, saya mempunyai kuasa dan saya tidak akan memberikan sebarang AP kepada mereka untuk mengeksport bauksit,” katanya.

Berucap pada majlis makan malam sambutan Tahun Baru Cina Wan Junaidi berkata sebagai hab pelancongan beliau tidak mahu timbul masalah alam sekitar di kawasan berkenaan.

Turut hadir pada majlis 1,000 tetamu itu ialah Ketua Menteri, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Kedua, Datuk Seri Ong Ka Chuan.

Sebelum ini, Abang Johari pernah berkata beliau sedia memenuhi impian Allahyarham Tan Sri Adenan Satem yang mengimpikan mahu mengangkat kawasan Lundu Sematan sebagai tapak pelancongan penting Sarawak.

Adenan yang pernah menyandang kerusi Dewan Undangan Negeri Tanjung Datu sejak 2011 sebelum menghembus nafas terakhir pada 11 Januari lepas, menyedari daya tarikan alam semula jadi kawasan tersebut.

Menurut Abang Johari ketika hayatnya, Adenan meminta agar kawasan Lundu, Sematan dan Telok Melano dibangun menjadi destinasi pelancongan utama Sarawak.

Abang Johari berkata, keindahan fauna dan flora seperti pantai, taman negara, makanan laut, gunung serta penduduk yang ramah mampu menjadi aset penting memajukan kawasan berkenaan. – Sarawakvoice