Pemain tidak jujur punca Sarawak belasah kami – Jacob Joseph

0
6

KUCHING: Gara-gara pemain tidak “jujur” bermain hingga menyebabkan mereka hampir menjadi mangsa buli Sarawak di Stadium Negeri, Petra Jaya malam tadi, pengendali Misc-Mifa, Jacob Joseph memiliki alasan besar untuk “mengamuk”.

“Saya kecewa. Ada antara pemain yang tidak jujur bermain, hingga menyebabkan kita dibelasah empat gol pada separuh masa pertama,” katanya.

Dalam aksi malam tadi pasukan Liga Perdana itu tumbang 6-3 kepada Sarawak, dengan separuh masa ketinggalan 4-0.

Gol skuad Ngap Sayot dijaringkan secara hatrick oleh Mark Andrew Hartmann pada minit ke-11, 59 dan 80 manakala gol pada minit ke-24 dan 37 disumbang Mateo Roskam, yang menampakkan keserasian mendadak.

Pemain pertahanan Sarawak, Ronny Harun turut menggegarkan jaring pada minit ke-33.
Gol Misc-Misa diledakkan oleh Oii Shee Keong pada minit ke-56, sebelum Michael Chukwubunna Ijezie menyempurnakan dua sepakan penalti pada minit ke-69 dan 77 untuk merapatkan kedudukan.

Jaringan itu hadir setelah Satheskumar Vingkatasin dihadiahkan kad merah setelah mengasari Mohamad Hafiz, yang menyebabkannya berakhir di atas pengusung.
Dengus Joseph lagi, perlawanan ini sememangnya amat teruk dan mengecewakan, terutama barisan pertahanan dan penjaga gol.

“Saya terpaksa menukar penjaga gol dan pemain pertahanan saya untuk menukar momentum.

“Semuanya berpunca daripada arahan yang saya berikan sebelum itu mereka abaikan, terutama dalam mengekang kelibat Mark Hartman dan Dalglish Papin Test.
Menurutnya, beliau berulang kali meminta pemain mengawasi ketat pemain penyerang ini, kerana pemain tengah

Sarawak berulang kali mengumpan bola kepada mereka untuk mencipta serangan.

“Namun arahan saya tidak dihiraukan hingga memberi ruang kepada mereka untuk bergerak di semua tempat.

“Akhirnya kita melepaskan empat gol mudah dalam masa 30 minit.

Katanya, beliau tidak tahu apa yang terjadi kepada pemain-pemainnya pada 45 minit pertama itu.

“Mereka tidak pernah mereka bermain seburuk ini dalam Piala FA mahupun Liga Perdana.

“Seolah-olah tidak tahu bermain bola. Saya amat kecewa.

Katanya, pada separuh masa kedua, anak-anak buahnya dengan sepuluh pemain boleh menjaringkan tiga gol, tetapi kenapa dengan 11 pemain pada separuh masa pertama, pasukannya “kena” 4 gol?

“Itu yang musykil!”

Joseph bertekad akan merombak barisan bentengnya bagi menghadapi perlawanan akan datang menentang Kuantan FA.

Mengubat luka hatinya apabila anak-anak buahnya tidak terus tunduk apabila dibelasah.

“Saya nampak kesungguhan mereka pada separuh masa kedua.

“Mereka menunjukkan semangat melawan hingga berjaya memperoleh tiga gol, biarpun dua daripadanya menerusi tendangan penalti.

“Namun ia agak terlambat kerana mereka sudah ditembusi banyak gol.
Joseph berharap semangat melawan ini dikekalkan, pada perlawanan akan datang, tetapi harus tidak disertai dengan kesilapan yang berulang.

“Harga kesilapan itu terlalu mahal,” tegasnya lagi. – Sarawakvoice