Kemenangan di Tanjong Datu tanda terima kasih kepada Tok Nan

Dr Lee Kuok Tiung, UMS

Dalam sedikit masa lagi pengundi di Tanjong Datu akan turun menunaikan tanggungjawab mereka.

Tidak kedengaran yang melalak sakan akan berlaku kejutan dalam pertarungan jelas memihak siapa.

Jumlah pengundi yang keluar mengundi berkebarangkalian besar tidak sebanyak 70.1 peratus  sewaktu Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-11 pada tahun lepas.

Memandangkan Jabatan Meteorologi Sarawak turut meramalkan cuaca pada 18 Februari ini umumnya tidak begitu baik, para pengundi dinasihati keluar mengundi lebih awal.

Tidak mustahil akan ada pengundi yang beranggapan kemenangan sudah pasti memihak kepada calon Barisan Nasional (BN) memilih untuk tidak turun mengundi.

Berdasarkan  ‘nama’ calon dan kempen pilihan raya setakat ini, jelas ketara kemenangan memihak kepada Datuk Amar Jamilah Anu.

Ini merupakan hakikat yang perlu diterima oleh semua pihak terutamanya yang ada turun memerhatikan kempen pilihan raya kecil (PRK) di Lundu.  

Jentera pilihan raya BN jauh lebih kuat dan mendahului jika dibandingkan dengan kempen calon daripada Parti Reformasi Negeri (STAR) dan Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS) Baharu.

Meskipun ini hanyalah PRK,  BN nampak begitu serius dan teliti untuk memastikan kemenangan kepada calon BN.

Wakil-wakil daripada parti-parti komponen BN dari Sarawak, Sabah dan Semenanjung Malaysia hadir bantu berkempen.  

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sendiri serta beberapa menteri kabinet persekutuan seperti Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein sudah pun turun membantu.

Ini jelas jauh berbeza senarionya dengan calon pembangkang yang terpaksa bergerak sendiri tanpa sebarang bantuan daripada parti-parti pembangkang baik dari Semenanjung mahupun parti tempatan Sarawak apabila parti-parti pembangkang di Sarawak khasnya DAP, PAS, PKR dan PAN memilih untuk tidak bertanding sebagai menghargai sumbangan dan menghormati Allahyarham Tan Sri  Adenan Satem.

Malahan saluran media pembangkang pun nampak tidak memberi penekanan kepada PRK Tanjong Datu ini apatah lagi berkempen untuk calon yang melawan Datuk Amar Jamilah.

Makanya jika ada yang mendakwa calon pembangkang akan kehilangan wang deposit sebenarnya ada asas yang kukuh.

Jika ada pertarungan judi sekalipun berkemungkinan besar bukan pada siapa yang akan menang tetapi mampukah calon lawan ini dapatkan balik deposit mereka.  

Pujangga ‘di sebalik kejayaan seorang lelaki, pasti ada seorang wanita di belakangnya’, pastinya semua tahu bahawa Datuk Amar Jamilahlah orangnya di sebalik Adenan Satem.

Memiliki kelulusan dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan menerajui beberapa persatuan dan NGO, Datuk Amar Jamilah mempunyai kredibilitinya yang tersendiri.

Setakat yang diperhatikan sepanjang kempen sejak penamaan calon pada 4 Februari, perasaan mengagumi dan berterima kasih terhadap Tok Nan dalam kalangan pengundi tetap ada.

Tugas berat dan tidak mudah untuk mengusik undi BN. Pertandingan yang berat sebelah disebabkan lawan yang tidak dapat bantuan daripada parti-parti pembangkang.

Apabila terbaca mesej menerusi WhatsApp salah seorang calon bertanding yang mana salah satu ayatnya berbunyi “Even the community sponsored RM5000 candidate deposit to me to voice up for them and safeguard Native and all races”,  ikhlas tidak terfikir mungkinkah ini strategi untuk meraih ‘undi simpati’ tetapi hakikatnya memang ada sedikit perasaan lembut hati terhadap beliau.

Tetapi apabila mengetahui calon sama yang bertanding di kerusi baharu  Gedong sekitar lapan bulan lepas pada PRN Sarawak Ke-11 atas tiket Parti Amanah Negara (Amanah) di mana beliau sekadar memperoleh 699 undi berbanding lawannya daripada PBB yang memperoleh 4,064 undi, timbul juga persoalan macam cepat juga beliau bertukar parti dan kawasan bertanding.   

Apa-apa pun calon BN dari PBB dengan manifesto yang bertemakan ‘Bersama kita teruskan perjuangan Tok Nan’ jelas merupakan kesinambungan daripada apa yang telah dibawa oleh Allahyarham Adenan mempunyai kelebihan. Kira meneruskan legasi Tok Nan.

Populariti Ketua Menteri Sarawak yang baharu, Datuk Amar Abang Abdul Rahman Zohari  Tun Abang Hj. Openg yang lebih dikenali dengan panggilan ‘Abang Jo’ pastinya akan menyumbang undi tambahan kepada calon BN ini. – Sarawakvoice