Benarkan anak yang tunggu kelulusan status warga negara bersekolah

KUCHING: Mengelak kanak-kanak yang tiada status warga negara terlewat mengikuti sesi persekolah dan mungkin akan tercicir, Kerajaan Negeri sedia meminta Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak mengarahkan semua pengetua dan guru besar membenarkan kanak-kanak ini memasuki kelas.

Syaratnya, ibu bapa kanak-kanak berkaitan masih menunggu proses memohon status warga negara dari Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Banyak kanak-kanak yang dilahirkan Sarawak tidak diberi status warga negara dalam surat kelahiran mereka kerana kesukaran ibu bapa membuktikan taraf perkahwinan mereka, jika salah seorangnya merupakan warga asing.

Menteri Kebajikan, Wanita dan Kesejahteraan Komuniti, Datuk Fatimah Abdullah mengingatkan bahawa Kementerian Pendidikan sebelum ini bersetuju membantu  kanak-kanak terbabit ketika mereka menunggu proses permohonan status warga negara diluluskan.

Bercakap selepas menerima kunjungan hormat Persekutuan Pertubuhan Cina Sarawak (Wanita), di pejabatnya di Bangunan Baitulmakmur, Petra Jaya pada Selasa, Fatimah berkata Sarawak dibenar menubuh jawatankuasa khas membantu kanak-kanak terbabit memohon status warga negara dari KDN.

Kebenaran itu diberikan oleh Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Menurut Fatimah Kerajaan Negeri tiada kuasa memberikan status warga negara kepada kanak-kanak terbabit sebaliknya ia perlu dimohon dan diluluskan oleh Menteri Dalam Negeri di Pusat.

Fatimah memberitahu bahawa beliau dan Menteri Muda Pendidikan Awal Kanak-Kanak dan Pembangunan Keluarga, Syarifah Hasidah Syeed serta Menteri Muda Kebajikan dan Kesejahteraan Masyarakat, Dr Abdul Rahman Ismail merupakan ahli yang berada dalam jawatankuasa khas berkenaan.

Menurut beliau, jawatankuasa itu membantu mengemukakan permohonan mendapatkan status warga negara ini bagi kanak-kanak terbabit sejak hujung tahun lepas.

Setakat ini, mereka sudah menyemak dan menghantar 84 permohonan kepada KDN sejak tiga bulan lepas.

Fatimah yakin, dengan penyemakan teliti jawatankuasa itu di peringkat negeri, permohonan terbabit yang diserahkan kepada KDN melalui mereka mendapat keputusan lebih pantas.

Jawatankuasa khas ini bermesyuarat sekali bulan bagi menyemak semua permohonan yang diterima oleh Jabatan Pendaftaran Negeri (JPN).

Ibu bapa yang mempunyai anak tanpa status warga negara dalam sijil lahir dinasihat agar mengemukakan permohonan kepada jawatankuasa khas melalui pejabat JPN di seluruh Sarawak. – Sarawakvoice