Pusat Matrikulasi pertama S’wak dibina di Tanjung Datu, kenang impian Adenan

Jurufoto: Salfian Nawawi

LUNDU: Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Dato Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar mengumumkan Sarawak akan mendapat Pusat Matrikulasi yang pertama dibina di kawasan Tanjung Datu.

Menurut Junaidi, projek pembinaan pusat pendidikan berkenaan diluluskan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Berita baik itu dimaklumkan oleh Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid dalam mesyuarat kabinet pada minggu lepas.

Menurut Junaidi, Tanjung Datu menjadi lokasi pilihan sebagai mengenang hasrat awal pembinaan Pusat Matrikulasi itu yang pernah disuarakan Allahyarham Tan Sri Adenan Satem, mantan Ketua Menteri dan wakil rakyat Dewan Undangan Negeri Tanjung Datu.

Pada awalnya Kerajaan Persekutuan mengenal pasti kawasan Matang sebagai lokasi pembinaan pusat pendidikan terbabit.

Buat masa ini, pelajar Sarawak melanjutkan pelajaran di Pusat Matrikulasi Labuan.

Berucap pada Majlis Penyampaian Warta Rizab Komunal Bumiputera (Pertanian), Seksyen 6 Kanun Tanah Negeri, Junaidi yang juga Ahli Parlimen Santubong berkata, Kerajaan Negeri bersetuju memberi tapak seluas 40 hektar di Sematan bagi tujuan pembinaan Pusat Matrikulasi berkenaan.

Pada majlis disempurnakan oleh Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar Kedua Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan di Dewan Chung Hua Lundu pada Isnin itu, Junaidi berkata, pembinaan Pusat Matrikulasi pertama Sarawak itu merupakan hadiah istimewa Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri kepada penduduk Tanjung Datu.

Menurut Junaidi, pihaknya membincangkan bajet yang diperlukan bagi tujuan pembinaan pusat matrikulasi tersebut yang kini berada pada peringkat perbincangan pelan.

Kos pembinaan menurut Junaidi dibincang dalam Rolling Plan Kedua atau bajet tambahan dan projek tersebut perlu bermula sebelum 2020. – Sarawakvoice