Saturday, December 3, 2022

183 sekolah S’wak daif perlu keutamaan, mahu diperbaiki atau dibina baru

Secara Rawak

LUNDU: Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, sebanyak 69 sekolah rendah dan menengah baharu sedang dalam pembinaan di seluruh Sarawak mengikut Rancangan Malaysia Ke-10 yang diteruskan dalam Rancangan Malaysia ke-11.

Bercakap pada sidang media selepas merasmikan program Guru Aktif 1Malaysia (GA1M) “Guru Pembina Negara Bangsa” peringkat negeri, Mahdzir berkata beliau sentiasa mendapat maklumat terperinci berkaitan pembangunan serta peruntukan bidang pendidikan yang perlu memandangkan Sarawak ketinggalan berbanding negeri lain.

Pada program yang berlangsung di Dewan Sri Pakma, Sekolah Menengah Kebangsaan Lundu pada Isnin, Mahdzir sebagaimana dilaporkan Bernama, mengaku sebanyak 183 sekolah di Sarawak dikategorikan sebagai daif.

Sekolah ini perlu diberi perhatian utama, sama ada diperbaiki atau dibina yang baharu.

Tiga pengkategorian sekolah di Malaysia dinilai dari segi fizikal ialah, pertama masih dalam keadaan sempurna, kedua dalam keadaan sederhana dan ketiga daif yang perlu diberikan keutamaan.

Beliau berkata, untuk 2017, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bersama Ketua Menteri Sarawak Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg membincangkan bagaimana dapat membantu sekolah daif ini, sama ada boleh diperbaiki ataupun dibina sekolah yang baharu.

Manakala, berkaitan Dasar 90:10 Mahdzir berkata Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran Malaysia masih meneruskan usaha melaksanakan dasar tersebut bagi membolehkan anak tempatan Sarawak bertugas di negeri ini.

Dasar 90:10 merealisasikan 90 peratus guru di Sarawak terdiri daripada anak tempatan kini berada di landasan dengan pencapaian 88.7 peratus (37,177 orang) pelaksanaan pada hujung 2016.

Dasar 90:10 merupakan ketetapan yang dipersetujui pada 2018, Sarawak perlu mempunyai 90 peratus guru anak tempatan manakala 10 peratus lagi dari negeri lain.

“Laporan yang kita terima pada perbincangan hari ini adalah kita sebenarnya berada di landasan di mana pada 2016 sahaja Sarawak sudah mencapai 88.7 peratus atau 37,177 orang guru adalah anak tempatan.

Mahdzir berkata, pihaknya masih melakukan setiap pengambilan guru anak tempatan mengikut keperluan subjek dan kelayakan calon.

Calon ini menurut beliau, perlu ditapis mengikut keperluan subjek dan kelayakan tadi dengan sebahagiannya dilatih mengikuti kursus di Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM). – Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru