MIRI: Seorang nelayan ditemui lemas manakala bapanya, masih hilang apabila bot mereka terbalik berhampiran pangkalan Kampung Muhibbah, Kuala Baram Lama dekat sini malam tadi.

Menurut Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Negeri, Farhan Sufyan Borhan, mangsa yang mati lemas dikenal pasti sebagai Stewart Rumpun, 18 tahun manakala bapanya yang masih hilang dikenal pasti sebagai Rumpun Pungat, 68 tahun.

“Kejadian berlaku sekitar jam 10.40 malam tadi apabila juragan bot yang dinaiki mereka cuba pusingan secara mengejut ketika dalam perjalanan menuju ke mulut muara.

“Namun pada masa yang sama tiupan angin yang kuat menyebabkan bot tersebut gagal dikawal menyebabkan ia terbalik dan karam.

Kata Farhan, dua mangsa yang lain bagaimanapun selamat setelah berenang ke tepi sungai sementara mangsa dan bapanya terus ghaib dari pandangan.

Pusat Gerakan Operasi Bomba dimaklumkan tentang insiden itu sekitar jam 11.30 malam dan sebuah jentera berserta sebuah ambulans EMRS dikejarkan ke lokasi dengan kekuatan tujuh anggota, dari Balai Bomba dan Penyelamat Lopeng.

“Identiti dua mangsa yang selamat kemudian dikenal pasti sebagai Franky Francis, 48 tahun dan Baharudin Masbak, 47 tahun.

Mayat Stewart kata Farhan, kemudiannya ditemui oleh orang awam selepas 22 minit pasukan mencari dan menyelamat (SAR) memulakan tugas jam 8.00 pagi tadi.

“Ia ditemui berdekatan pangkalan tersebut,” katanya.

Kini tumpuan diberikan untuk mencari seorang lagi mangsa.

Mayat mangsa telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya. – Sarawakvoice