TAWAU: Pihak polis berkata satu mayat kanak-kanak dipercayai mangsa tragedi bot karam ketika menuju Sungai Nyamuk, Inondesia pada Selasa lalu ditemukan pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Fadil Marsus berkata wakil Konsulat Indonesia memaklumkan mayat kanak-kanak perempuan berusia 18 bulan itu ditemukan kira-kira 11.36 pagi oleh seorang petani Indonesia di perairan Sungai Manurung, Indonesia.

“Mayatnya telah dibawa ke Nunukan oleh pihak berkuasa Indonesia untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata mayat kanak-kanak tersebut turut disahkan ibu bapanya yang kini menjalani rawatan di Hospital Tawau.

Bapanya Budiman Muslimin, 26, dan ibunya Hasmida Masaniaga, 24, selamat dalam kejadian itu.

“Kedua-dua mangsa mengesahkan menerusi gambar-gambar yang ditunjukkan bahawa mayat itu adalah anak perempuan mereka Nur Ainun,” katanya.

Bot itu yang dinaiki sekumpulan warga Indonesia dilapor karam akibat dipukul ombak ketika menuju Sunyai Nyamuk dan setakat ini 14 daripada 15 mangsa ditemui dengan empat daripada mereka selamat manakala yang lainnya meninggal dunia.