MIRI: Gerakan Sarawak for Sarawakians (S4S) menerima satu pukulan apabila menerima sambutan amat dingin petang ini daripada penduduk di sini.

Kurang daripada 15 orang termasuk seorang kanak-kanak ikut serta.

Perhimpunan yang bermula jam 4.10 petang di Bulatan Pelita berakhir hanya 20 minit kemudian dengan tidak ada pemimpin pergerakan itu muncul.

Keadaan adalah aman dan begitu sunyi namun sekali sekala peserta berteriak ‘ooo haaa’, sesuatu yang sering dilaungkan oleh bekas Ketua Menteri, Allahyarham Tan Sri Adenan Satem.

Tidak ada sebarang ucapan disampaikan dengan peserta seolah-olah seperti anak ayam kehilangan ibu, tidak tahu apa yang hendak dilakukan.

Pemandu kereta yang lalu di situ sekali sekala membunyikan hon.

Menurut seorang peserta yang enggan dikenali, perhimpunan sepatutnya diadakan di dua tempat termasuk di Morsejaya tetapi kerana sambutan yang dingin, maka tumpuan hanya di bulatan itu.

Menurutnya, tujuan perhimpunan adalah untuk menuntut agar kerajaan pusat menyerahkan kuasa kepada Sarawak, sesuatu yang telah pun dilakukan dan akan diperjuangkan oleh Ketua Menteri Datuk Amar Abang Johari Tun Openg.

Satu daripada pelekat berbunyi: ‘Mr PM Najib Sarawak Can’t Wait’. – Sarawakvoice