Monday, August 8, 2022

Mayat lelaki terjun Jambatan Batu Kawa ditemui

Secara Rawak

KUCHING: Mayat seorang lelaki yang disyaki terjun dari Jambatan Datuk Chong Kiun Kong, Jalan Batu Kawa, dekat sini semalam berjaya ditemui pasukan mencari dan menyelamat (SAR) pagi ini.

Menurut Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Negeri, Farhan Sufyan Borhan, mayat mangsa ditemui lima minit selepas ops SAR diaktifkan sekitar jam 6.55 pagi tadi.

“Mayat mangsa ditemui kira-kira 500 meter dari lokasi kejadian oleh tiga anggota yang melakukan rondaan menggunakan bot arib, sebelum dibawa ke Pusat Kawalan Bomba di bahagian bawah jambatan,” katanya.

Identiti mangsa kemudian dikenal pasti sebagai Mohd Shahrul Iffin Suidi, 29 tahun, katanya lagi.

Terdahulu, mangsa dilaporkan hilang oleh keluarganya kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Padawan semalam, yang kemudian memanjangkan maklumat kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat pada jam 10.48 pagi.

Susulan laporan tersebut, sebuah pacuan empat roda dan sebuah bot arib dikejarkan ke lokasi.

Berdasarkan maklumat awal, mangsa dikatakan mengalami tekanan dan pernah menyuarakan hasrat untuk membunuh diri.

Kenderaan mangsa sebelum itu ditemui ditinggalkan di tengah jambatan sejak jam 3 petang Jumaat.

Seramai 18 anggota terlibat dalam SAR, yang terdiri daripada anggota bomba dan penyelamat, polis, Angkatan Pertahanan Awam dan Anggota Tentera Malaysia. – Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru