Memenuhi amanat Adenan jadikan Lundu, Semantan, destinasi pelancongan S’wak

LUNDU: Sebelum menghembuskan nafas terakhir 11 Januari lepas, mantan Ketua Menteri Allahyarham Tan Sri Adenan Satem mengimpikan mahu mengangkat kawasan tersebut sebagai tapak pelancongan penting Sarawak.

Adenan penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri Tanjung Datu sejak 2011, menyedari daya tarikan alam semula jadi kawasan tersebut.

Menurut Ketua Menteri Datuk Amar Abang Johari Tun Openg ketika hayatnya, Adenan meminta agar kawasan Lundu, Sematan dan Telok Melano dibangun menjadi destinasi pelancongan utama Sarawak.

Bercakap pada majlis perasmian Medan Selera pada Jumaat, Abang Johari berkata, keindahan fauna dan flora seperti pantai, taman negara, makanan laut, gunung serta penduduk yang ramah mampu menjadi aset penting memajukan kawasan berkenaan.

“Sehari sebelum beliau meninggal dunia, saya sebagai timbalan, ingin melawatnya di pusat perubatan tempat beliau dirawat,” ujar Abang Johari.

“Kebetulan, seorang lagi Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah turut melawatnya pada masa yang sama pada kira-kira 12.30 tengah hari.”

Menghimbau pertemuan tersebut, Abang Johari berkata Adenan menasihatkan mereka menjaga Sarawak dengan baik.

Adenan meminta Uggah menguruskan perkara berkaitan Hak Tanah Adat Bumiputera.

Abang Johari mengaku, “tiada seorang antara kami sedar itu perbualan terakhir kami dengan beliau…”

Justeru, Abang Johari berkata sebagai “kapten pasukan” yang diberi amanat dan amanah, beliau dibantu dua timbalan, Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Tan Sri Dr James Masing serta anggota kabinet negeri yang lain, memastikan pesanan Adenan terlaksana.

Abang Johari berkata, Tanjung Datu menerima  600 projek dengan kos RM1.3 bilion.

Menurut beliau, sebagai rakan rapat Adenan, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sudah tentu memastikan perjuangan ini diteruskan demi meneruskan pembangunan di Sarawak.

Pembangunan Sarawak terjamin melalui kerjasama erat Kerajaan Negeri dengan Kerajaan Persekutuan.

Abang Johari menyeru pengundi Tanjung Datu menyokong penuh Datuk Amar Jamilah Anu pada 18 Februari ini agar beliau dapat meneruskan perjuangan Adenan di kawasan tersebut.

“Apabila Sarawak kuat dan stabil, Kerajaan Persekutuan juga akan kuat dan stabil,” tambah Abang Johari lagi.

Beliau berkata Najib berhak mendapat sokongan padu dari negeri ini kerana sering mengambil berat tentang Sarawak. – Sarawakvoice