Sektor pelancongan perubatan M’sia berpotensi bawa masuk RM88 bilion, 2025

KUALA LUMPUR: Pada 2015, Malaysia menerima 850,000 pelancong yang datang ke negara ini untuk tujuan perubatan yang menyumbang RM1 bilion kepada pelancongan perubatan negara.

Pendapatan ini masih dikira kecil dan negara menyasarkan memperoleh RM1.3 bilion untuk tahun seterusnya.

Penganalisis Ekuiti Penyelidikan Malaysian Industrial Development Finance (MIDF) Athila Razali, berkata walaupun sumbangan itu kecil buat masa ini, tetapi ia mampu meningkat.

Pertumbuhan hospital swasta baharu di seluruh Malaysia yang menyediakan pelbagai kepakaran perubatan dan sokongan membantu ke arah peningkatan ini.

Prospek industri pelancongan perubatan  Malaysia dijangka positif dalam jangka masa panjang melibatkan rawatan, seperti kardiovaskular dan gastrousus ketika tawaran harga lebih mahal di luar Malaysia.

Kini, selain negara jiran, aliran masuk pelancongan perubatan melibatkan Asia Barat dan negara Barat lain.

Seperti dilaporkan Bernama, Athila berkata, “Malaysia, dengan kepakaran perubatan yang meningkat dalam pelbagai bidang penjagaan kesihatan, turut menyaksikan minat yang meningkat dalam kesihatan dan rawatan pencegahan penyakit…”

Menurut Athila, reputasi sistem penjagaan kesihatan Malaysia yang baik di luar negara menggalakkan kemasukan pelancong perubatan ini.

Sementara, keadaan pasaran mata wang semasa turut menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan perubatan yang lebih menarik.

Manakala, Ketua Pegawai Eksekutif Prince Court Medical Centre (PCMC), Chong Yee Mun seperti dilaporkan Bernama berkata, Malaysia mempunyai ramai doktor berkelayakan dan diiktiraf dari United Kingdom, Amerika Syarikat (AS), India dan Australia, dilihat berupaya menarik klien antarabangsa.

Chong berkata pemeriksaan perubatan am, rawatan kesuburan, pembedahan ortopedik, perkhidmatan kanser dan pemeriksaan kesihatan khusus antara rawatan paling dicari oleh warga asing.

Chong membandingkan harga yang amat berpatutan ditawarkan, misalnya untuk pembedahan pintasan jantung harga purata di Malaysia ialah AS$9,000 (hampir RM40,000) berbanding di Amerika Syarikat menelan kos AS$70,000 hingga AS$200,000 (RM308,000 hingga RM880,000).

Sementara, Ketua Pegawai Eksekutif Gleneagles Hospital and Medical Centre (GHMC) Dr Adzuan Rahman dipetik Bernama  berkata, Malaysia memiliki lebih 139 hospital awam dan 260 hospital swasta yang berteknologi canggih sentiasa terbuka memberi perkhidmatan untuk pelancongan perubatan.

GHMC merupakan hospital pertama di Malaysia dilengkapi Gamma Knife, yang memberi rawatan neurologi tanpa rasa sakit dan melakukan pembedahan berketepatan tinggi mengecutkan tumor dan membunuh sel kanser.

Adzuan berkata sektor pelancongan perubatan diunjurkan berkembang 11 peratus sehingga 2020, mampu membawa masuk lebih AS$20 bilion (RM88 bilion) menjelang 2025. – Sarawakvoice