Saturday, December 3, 2022

Kerajaan akan terus utamakan pemerkasaan pendidikan – Najib

Secara Rawak

KUCHING: Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak hari ini memberi jaminan bahawa aspek pendidikan akan terus menjadi keutamaan pentadbirannya.

Pendidikan tegasnya, merupakan satu pelaburan dan ia tidak akan mendatangkan sebarang pembaziran.

“Apabila kita berbelanja untuk pendidikan, ia bukan satu pembaziran, tetapi satu pelaburan strategik.

“Sebab tu saya percaya pendidikan perlu diberikan keutamaan biarpun memdatangkan implikasi bajet,” katanya yang juga Menteri Kewangan Pusat.

Katanya, pemerkasaan pendidikan harus merentasi kepentingan kaum dan etnik, terutama apabila melibatkan penyediaan infrastruktur pendidikan dan kemudahan berkaitan.

“Kerana itu, sebagai Menteri Kewangan, saya tidak pernah lupa untuk memberi peruntukan kepada sekolah Cina saban tahun,” katanya selepas merasmikan blok baharu Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Hua No. 4 di Jalan Nanas, di sini petang semalam.

Najib berkata, melalui akses pendidikan yang sempurna dan berkualiti, sesebuah negara akan maju manakala taraf hidup rakyatnya akan berubah.

“Kerana itu kita mesti pastikan negara kita memiliki sistem pendidikan terbaik di rantau ini, dan ia sentiasa diberikan keutamaan setiap kali kita merangka belanjawan negara,” katanya.

Najib mengaku, pada hampir setiap kali belanjawan negara, sekurang-kurangnya RM50 juta diperuntukkan untuk sekolah Cina.

“Itu tidak termasuk peruntukan tambahan yang disalurkan dari semasa ke semasa bagi memenuhi pelbagai permintaan dan permohonan ketika melawat ke sesuatu kawasan,” katanya.

Akan tetapi tegasnya, pentadbiran sekolah-sekolah ini tidak boleh bergantung harap kepada dana kerajaan semata-mata.

“Mereka perlu kreatif dalam mencari dana, seperti yang dilakukan dalam pembinaan blok baharu SJKC Chung Hua No. 4 ini.

“Ia membabitkan penyertaan komuniti yang saya lihat boleh dijadikan contoh terbaik.

“Kita (Kerajaan Pusat) menyalurkan RM1.5 juta, manakala selebihnya dibiayai Kerajaan Negeri (RM800,000), diikuti sumbangan kontraktor (RM1.3 juta) dan kutipan dana komuniti.

“Kesannya cukup hebat kerana dalam tempoh empat bulan blok baharu ini dapat disiapkan,” katanya lagi.

Turut hadir pada majlis tersebut Ketua Menteri, Datuk Amar Abang Johari Abang Openg; Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar II Negeri, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Menteri Kewangan II Sarawak, Datuk Seri Wong Soon Koh dan Menteri Kerajaan Tempatan Sarawak, Datuk Dr Sim Kui Hian. – Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru