Sinisnya sindiran laporan berita CNN dalam bahasa Indonesia, bahawa Presiden Amerika Syarikat yang ke-45, Donald Trump bertindak ibarat “menunai badai dari angin yang ditaburkan”.

Masih ingat animasi futuristik “The Simpson” yang meramalkan Trump, 70 menjadi presiden AS 17 tahun lalu yang disiarkan pada 2000 dalam episod “Bart To The Future”?

Animasi tersebut mengisahkan Trump memegang puncak kuasa Rumah Putih disiarkan di kebanyakan stesen televisyen AS dan ditonton sekitar 15 juta audiens.

Jadi, jika Trump meneruskan semua janjinya berkaitan isu kontroversi, mungkinkah Trump sedang memenuhi ramalan “Bart To The Future” yang menampilkan Hillary Clinton mengambil alih jawatannya selepas Trump “merosakkan” AS.

Ya, hanya beberapa waktu selepas menandatangani perintah eksekutif yang menghalang pelarian dan pendatang tujuh negara mayoriti Islam: Iran, Iraq, Syria, Sudan, Somalia, Libya dan Yaman, Trump seperti menabur masalah.

Di lapangan terbang utama, ramai rakyat tujuh negara tersebut ditahan dan diarah pulang.

Selain lebih 100 kes dibawa ke mahkamah, tiga hakim pusat turut memutuskan penangguhan penahanan dan pemulangan mereka yang terkesan oleh peraturan baru itu.

Rumah Putih serta lapangan terbang di Los Angeles, Washington, Dallas, Kennedy, Atlanta menjadi sasaran para demonstrator.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Apple Tim Cook membantah idea Trump, malah mengaku mereka tidak menyokong program Trump.

Malah, CEO Facebook, Mark Zuckerberg turut mengkritik program kontroversi Trump.

Facebook sendiri memeriksa kesan peraturan tersebut ke atas tenaga kerja dan bagaimana melindungi pekerjanya.

trump01
Akhirnya, sebanyak 97 syarikat teknologi besar di AS, termasuk Apple, Facebook dan Google mengajukan dokumen undang-undang secara bersama terhadap halangan perjalanan yang dikeluarkan oleh Trump itu.

Syarikat besar berpendapat larangan itu menyebabkan kerugian besar bagi perniagaan mereka.

Dalam kenyataan bersama yang diajukan di mahkamah rayuan di San Francisco, mereka meminta pembatasan perjalanan ditangguhkan.

Washington dan Minnesota, mengatakan kepada mahkamah rayuan bahawa pemulihan pembatasan perjalanan tersebut akan menimbulkan kekacauan.

Kekacauan yang digambarkan The Simspion tidak berakhir di situ, kerana selepas Trump menandatangani larangan perjalanan tersebut, saham negara kuasa besar itu merudum parah.

Bimbang dengan dasar Trump yang pernah disuarakan semasa kempen pemilihan presiden AS, pelabur menarik pelaburan.

AP melaporkan, saham di Eropah turut terkesan merosot pada minggu awal Trump berkuasa.

Ahli strategi Wells Fargo Investment Institute, Sameer Samana, berkata walaupun pelabur tidak terlalu bimbang dengan dasar Trump itu, namun mereka berada dalam ketidakpastian.

Hari awal pelaksanaan arahan Trump, Perusahaan Dow Jones jatuh 122.65 mata, atau 0.6 peratus kepada 19,971.13.

trump02Komposit Nasdaq jatuh 47.07 mata, atau 0.8 peratus, kepada 5,613.71 selepas ditutup tinggi pada Jumaat.

Kaunter penerbangan turut menjunam jatuh selepas perintah eksekutif Trump menyebabkan berlaku protes dan gangguan di lapangan terbang.

Syarikat penerbangan Emiriah Arab Bersatu, Emirates menukar juruterbang dan kru kabinnya untuk penerbangan ke AS susulan larangan perjalanan mengejut itu.

Menurut jurucakap Emirates kepada Reuters, syarikat penerbangan jarak jauh terbesar dunia yang terbang ke sebelas bandar raya di AS setiap hari melakukan rombakan bagi memenuhi syarat terbaru Trump

Persatuan Pengangkutan udara Antarabangsa dalam kenyataan menyifatkan keputusan tersebut mengejutkan syarikat penerbangan seluruh dunia.

Syarikat penerbangan Emirates menggaji lebih 23,000 pramugari dan pramugara serta 4,000 juruterbang dari seluruh dunia termasuk AS, Eropah dan Asia Barat.

Bagaimanapun, rancangan Trump terjejas selepas hakim Mahkamah Persekutuan AS menghentikan sementara arahan eksekutif Trump.

Selepas memecat Peguam Negara Sally Yates yang dianggap mengkhianati arahan presiden, Trump gagal dalam rayuannya meminta larangan perjalanan yang dihalang oleh hakim pusat 3 Februari daripada diteruskan.

Keputusan yang dikeluarkan pada tengah malam itu memutuskan larangan perjalanan terus ditunda sehingga kes tersebut dikaji secara menyeluruh.

Sementara, Menteri Keselamatan Dalam Negeri AS John Kelly mengakui perintah eksekutif Trump itu dibuat secara terburu-buru.

trump03

Dalam isu Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA), Malaysia dan 12 negara iaitu Australia, Brunei, Chile, Kanada, New Zealand, Jepun, Singapura, Mexico, Peru, AS dan Vietnam mungkin kecewa kerana Trump membuat keputusan rasmi AS mengundur diri daripada TPPA.

Trump bertindak menandatangani Arahan Eksekutif penarikan diri AS daripada TPPA pada 23 Januari lepas, dengan alasan TPPA boleh menyebabkan kehilangan pekerjaan di AS serta pengaliran keluar dana ke negara lain TPPA.

Meskipun begitu dalam kes pemecatan duta AS, duta AS ke Malaysia yang dilantik Barrack Obama masih dikekalkan.

Trump terkenal dengan ayat “You’re fired” dalam rancangan popular program realiti Apprentice yang diucapkan pada akhir rancangan, kini menggunakan kalimat “You’re fired” di awal jawatannya.

Trump melakukan “You’re fired” ke atas 80 dutanya di seluruh dunia tidak termasuk duta AS yang bertaraf diplomat ke Malaysia, Kamala Shirin Lakhdhir.

Benarlah seperti digambarkan semasa kempen pemilihan presiden AS ke-45, bahawa, bukan Trump kalau tidak mengutarakan kenyataan yang kontroversi.

Keangkuhan paling jelas Trump ialah perangai suka memaksanya dalam isu pembinaan tembok penghalang imigran yang mengundang amarah Presiden Mexico Enrique Pena Nieto.

Trump mahu Nieto mengeluarkan dana sehingga AS$15 bilion (RM66 bilion) bagi membina tembok penghalang imigran sepanjang 3,220 kilometer itu.

Nieto menegaskan dalam ucapannya di televisyen bahawa, “Mexico tidak akan mendanai tembok apapun.”

trump00

Mexico tidak akan mendanai projek pembangunan tembok sepanjang sempadan Mexico-AS sebagaimana dituntut Trump.

Beliau berkata, “Mexico tidak percaya pada tembok.”

Nieto berkata menjadi tugasnya memikul tanggungjawab penuh membela kepentingan Mexico dan warganya.

Kemarahan Nieto tidak berhenti di situ kerana beliau sanggup membatalkan kunjungannya ke Washington bertemu Trump.

Pembatalan ini diumumkan apabila Trump menggertaknya melalui Twitter pada Khamis lepas berbunyi, “jika Mexico tidak mahu membayar dinding yang amat diperlukan, lebih baik batalkan saja pertemuan akan datang.”

Mantan Gabenor California yang juga aktor Hollywood terkenal, Arnold Schwarzenegger memberi cadangan kepada Donald Trump agar mereka saling bertukar-tukar pekerjaan supaya rakyat Amerika Syarikat dapat kembali tidur nyenyak.

Arnold yang kini mengendalikan “Celebrity Apprentice” menggantikan Trump September 2015, meminta Trump menggantikan tempatnya semula sebagai hos rancangan televisyen itu.

Manakala, tempat sebagai Presiden AS pula diserahkan kepadanya.

“Hei Donald, saya ada cadangan hebat. Mengapa kita tidak saling bertukar-tukar pekerjaan?

“Kamu ambil alih TV kerana begitu pakar mengenai kadar rating penonton (Trump kritik cara Arnold kendalikan Apprentice sehingga ratingnya jatuh).

“Manakala, saya pula menggalas tugas kamu supaya semua orang boleh kembali tidur

lena,” kata Arnold menerusi klip video yang dimuat naik di media sosial pada awal Februari lepas.

Sebelum ini Trump memuji Schwarzenegger menerusi Twitter: Tahniah kepada kawanku @Schwarzenegger yang dijangka mengendali Celebrity Apprentice musim  depan. Dia boleh menjadi hebat; meraih banyak $ untuk kebajikan.”

Bagaimanapun, nada mesej itu berubah selepas Arnold menyerang Trump.

Dengan menunaikan janji kontroversinya melalui kuasa “undi popular” yang berada di bawah undi pungutan Hillary Clinton, mampukah Trump bertahan sebagai Presiden AS atau perlu memenuhi ramalan animasi Simpson itu? – Sarawakvoice