Syed Ali: Pemimpin Umno perlu tunjuk peribadi baik, tidak jejaskan kredibiliti parti

KUALA LUMPUR: Pemimpin UMNO perlu menunjukkan keperibadian baik dan tidak ghairah mengeluarkan kenyataan yang dapat menjejaskan kredibiliti parti di mata rakyat, kata Datuk Seri Syed Ali Alhabshee.

Ketua UMNO Bahagian Cheras itu berkata, setiap perlakuan dan kenyataan dikeluarkan pemimpin akan menjadi cermin tontonan yang dapat mempengaruhi sokongan rakyat terhadap parti.

Katanya, ada yang mendakwa, sejak akhir-akhir ini seperti satu kecenderungan pemimpin parti yang lebih gemar mengeluarkan kenyataan berbau kepentingan peribadi atau mempunyai agenda tertentu.

“Apabila kecenderungan itu tidak terkawal, ia akan menebalkan lagi persepsi negatif rakyat terhadap UMNO dan akhirnya menghakis keyakinan dan kepercayaan mereka terhadap parti,” jelasnya Pemimpin Umno perlu tunjuk peribadi baik, dalam catatan terbaharu di laman blognya.

“Rakyat terutama anak-anak muda sedang memerhati tingkah laku dan perbuatan pemimpin politik termasuk UMNO, kalau buruk, buruklah tanggapan mereka,” katanya.

“Walaupun mungkin perkara sedemikian dianggap remeh oleh sesetengah pihak, tetapi perlakuan pemimpin UMNO di setiap peringkat akan menjadi kayu pengukur kepada masyarakat menilai sejauhmana perangai dan akhlak mereka.

“Apabila pemimpin UMNO dinilai dengan persespi negatif, implikasinya akan terpalit kepada parti dan sedikit-sebanyak mengundang ketidakpercayaan rakyat terutama sewaktu Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 semakin hampir,” ujarnya.

Beliau yang juga Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutua berkata, keadaan menjadi bertambah sukar apabila rakyat bukan sekadar mempertikaikan kredibiliti pemimpin terbabit, sebaliknya secara tidak langsung meletakkan rasa benci dan marah terhadap pucuk pimpinan tertinggi UMNO.

“Adakalanya umum menunding jari kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak dan timbalannya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang terpaksa memikul beban kesan daripada perbuatan tersebut.

“Kita tidak mahu ini berlaku, apabila ada perlakuan  pemimpin UMNO menyakitkan mata rakyat, mereka meletakkan kesalahan tersebut di atas bahu Najib, ini sudah tentu tidak adil dan membebankan parti,” tegasnya.

“Ini yang kita kena ubah, kita perlu dekati rakyat dan golongan sasaran bukannya secara bermusim. Menjadi tanggungjawab pemimpin UMNO untuk meleraikan kekusutan dan menyelesaikan permasalahan yang dihadapi rakyat,” tambahnya. – Sarawakvoice