SPR terima 272,143 pendaftaran pemilih baharu

PUTRAJAYA: Selaras Peraturan 13, Peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) 2002, Rang Daftar Pemilih Tambahan (RDPT) bagi Suku Tahun 4/2016 dipamerkan selama 14 hari bermula 7-20 Februari di 960 tempat pameran di seluruh negara.

Menurut Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Abdul Ghani Salleh, pemohon yang mendaftar sebagai pemilih baharu atau menukar alamat pusat mengundi pada Oktober-Disember 2016 dinasihat menyemak RDPT Suku Tahun 4/2016.

Dalam kenyataan pada Isnin, Ghani berkata, jika pemohon pendaftar baharu mendapati nama tidak tersenarai dalam RDPT, pemohon boleh membuat tuntutan menggunakan Borang B dan diserahkan kepada Pengarah Pilihan Raya Negeri).

Sementara, pemilih berdaftar yang hendak membuat bantahan ke atas kemasukan nama individu dalam RDPT itu boleh mengisi Borang C.

Menurut Ghani seperti dilaporkan Bernama, semasa tempoh pameran RDPT itu, SPR juga mempamerkan nama pemilih yang dikeluarkan daripada Daftar Pemilih.

Nama mereka dikeluarkan dari RDPT kerana didapati tidak berhak berada dalam daftar pemilih antaranya sebab meninggal dunia atau lucut hak warganegara.

Ghani turut mengumumkan, setakat suku keempat 2016, SPR menerima 272,143 pendaftaran pemilih baharu.

Sementara, seramai 80,821 pemilih berdaftar membuat permohonan untuk pertukaran alamat pusat mengundi.

Sebarang kemusykilan berkaitan pameran RDPT Suku Tahun 4/2016, individu boleh menghubungi ibu pejabat SPR di talian 03-88927018 atau menghubungi mana-mana Pejabat Pilihan Raya Negeri.

Pemohon juga boleh melayari laman sesawang SPR di www.spr.gov.my.