Kapitan Lundu janji pastikan semua pengundi Cina mengundi PRK Tanjung Datu

LUNDU: Kapitan Daerah Lundu Lim Ted Hong berkata pihaknya memastikan semua pengundi Cina mengundi dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Datu 18 Februari ini.

Memetik Bernama, Lim berkata, “kalau boleh kami mahu memecah rekod yang kami beri kepada Tok Nan dahulu iaitu 92.2 peratus daripada jumlah pengundi Cina turun mengundi.”

Lim memuji usaha Allahyarham Tan Sri Adenan Satem yang membawa masuk banyak pembangunan sewaktu beliau menjadi wakil rakyat Tanjung Datu.

Antara projek yang diterima berkaitan sekolah, rumah ibadat, jalan raya, bekalan elektrik, bekalan air paip dan jalan raya.

Lim berharap, mereka mahu Datuk Amar Jamilah Anu menjadi wakil rakyat baharu Tanjung Datu bagi meneruskan legasi Adenan.

Lim mengaku, Jamilah selalu menemani Adenan melawat kawasan dan sudah tentu beliau banyak mengetahui perancangan suaminya.

Lim berkata daerah Lundu masih memerlukan banyak pembangunan dengan terbinanya projek Lebuh Raya Pan Borneo yang merancakkan lagi pembangunan Tanjung Datu.

Manakala, Lim memberitahu Bernama, tidak wajar pemilik rumah yang sudah dibayar pampasan secukupnya meminta kerajaan membina rumah baharu untuk mereka.

Ini kerana menurut Lim, pemilik rumah yang terjejas sudah dibayar pampasan dua kali ganda harga asal rumah mereka dan sepatutnya mereka membina rumah sendiri.

Lim juga mengingatkan, pemilik rumah yang terjejas diberi notis awal agar berpindah.

Lim mengulas isu tidak puas hati beberapa penduduk apabila rumah mereka diroboh untuk memberi laluan kepada pembinaan projek Lebuh Raya Pan Borneo. – Sarawakvoice