Fadillah sangkal Projek Lebuh Raya Pan Borneo tiada wang

KUCHING: Tindakan sesetengah pihak yang menyebarkan berita bahawa projek Lebuh Raya Pan Borneo bakal terjejas kerana Kerajaan Pusat “pokai” dan “tiada wang” adalah tuduhan tidak berasas.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusuf sebentar tadi menafikan tuduhan tersebut sebaliknya mengakui kelewatan pembayaran projek itu disebabkan masalah teknikal.

“Duit untuk projek itu sudah ada. Kita ada peruntukan RM5 bilion daripada Kerajaan Pusat manakala yang lainnya daripada Dana Infra,” katanya ketika ditemui pada Program Bersama Pelanggan SME Bank di sini sebentar tadi.

Beliau berkata, tidak timbul soal tidak mampu bayar.

“Sebaliknya berlaku sedikit kelewatan, disebabkan prosedur pembayaran yang agak ketat dan perlu dilakukan secara teliti oleh Kementerian Kewangan kerana membabitkan jumlah yang besar.

Katanya, proses pembayaran projek ini perlu melalui proses jawatankuasa teknikal, selain pengesahan oleh juruperunding, juruukur bahan dan sebagainya.

fadillah panb00

“Bagaimanapun, pihak kami akan sentiasa berusaha membantu mempercepatkan proses berkenaan agar pelaksanaan projek dapat disiapkan mengikut jadual, sekali gus memberi kesenangan kepada rakyat.

“Harus diingat, untuk setiap kelewatan projek ini, kosnya terpaksa ditanggung kerajaan.

Fadillah berkata, kalau sebelum ini proses pembayaran adalah selama tiga ke empat bulan, pihaknya akan berusaha mempercepatkannya kepada dua ke tiga bulan.

Pada sidang media yang sama, Fadillah merakamkan penghargaan kepada SME Bank kerana membantu para kontraktor dalam melaksanakan projek penting untuk Sabah dan Sarawak.

“Tahun ini adalah tahun penyampaian, seperti yang diarahkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak.

“Dengan siapnya projek ini kelak, ia akan memberi impak ekonomi yang besar bukan sahaja Sarawak dan Sabah, tetapi juga Kalimantan dan Brunei,” katanya lagi. – Sarawakvoice