SUPP bantu warga Cina tanpa kerakyatan dapatkan taraf warga negara

KUCHING: Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) sedia membantu bangsa Cina yang tinggal di Sarawak tetapi tidak memiliki status kewarganegaraan Malaysia.

Presiden SUPP Prof Datuk Dr Sim Kui Hian berkata, asalnya warga Cina ini berkahwin dengan rakyat dari Indonesia dan tanah besar China.

Apabila mereka tidak berjaya mendaftar perkahwinan, maka berlaku kerumitan mendaftar anak mereka yang lahir di negeri ini.

Hal ini menjadikan anak tersebut tidak mempunyai taraf kerakyatan Malaysia.

Sim meminta pemimpin dan wakil rakyat SUPP agar supaya membantu urusan mengesan golongan tanpa kerakyatan ini yang tinggal di bandar termasuk di luar bandar Sarawak.

Menurut Bernama, ketika bercakap kepada pemberita di Lundu ketika menyertai pemimpin lain mengiringi calon BN, Datuk Amar Jamilah Anu, ke pusat penamaan calon PRK Tanjung Datu, Sim mengaku menyuarakan perkara itu kepada Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada majlis sambutan Tahun Baharu Cina Jumaat lepas.

Menurut Sim, Zahid berjanji menubuhkan pasukan petugas di bawah Jabatan Pendaftaran Negara Sarawak bagi menangani isu tersebut.

Sim gembira dengan komitmen Kerajaan Persekutuan dan berkata, pasukan tersebut melalui unit bergerak sedia mengunjungi orang Cina tanpa kerakyatan di luar bandar. – Sarawakvoice

dr sim lundu01 dr sim lundu02