Pengarah syarikat dan Pengawai Penyelaras Petronas didakwa 28 pertuduhan tuntutan palsu lebih RM700 ribu

0
11

LABUAN: Seorang Pengarah syarikat pembekal peralatan cari gali dan seorang Pegawai Penyelaras sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Wilayah Persekutuan Labuan hari ini atas tuduhan membuat tuntutan palsu dan bersubahat melibatkan wang berjumlah RM789,360.

Pengarah tersebut, Datuk Kok Chung Fui, 43 tahun didakwa dengan 28 pertuduhan mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Manakala Pegawai Penyelaras syarikat GLC, William Edmund Silla, 43 tahun pula didakwa dengan 28 pertuduhan mengikut seksyen yang sama dan dibaca bersama Perenggan 28(1)(b) Akta 694.

Kedua-dua suspek mengaku tidak bersalah atas kesemua pertuduhan tersebut yang dibacakan di hadapan Hakim Abu Bakar Manat.

Mengikut pertuduhan satu hingga 28, Chung Fui sebagai Pengarah CK Oil & Gas Sdn. Bhd. telah mengemukakan tuntutan palsu kepada Petronas Carigali Sdn. Bhd. berkaitan pembekalan peralatan berjumlah keseluruhan RM789,360 sedangkan peralatan tersebut tidak dibekalkan.

Manakala William pula didakwa bersubahat atas perbuatan tersebut dengan menandatangani dokumen-dokumen berkaitan.

Kesalahan tersebut dilakukan di Pejabat Scomi Oiltools Sdn. Bhd., Labuan Integrated Base, Labuan pada 18 September 2013.

Jika sabit kesalahan kedua-dua suspek boleh dipenjara hingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana lebih tinggi.

Hakim Abu Bakar Manat membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin sebanyak RM100,000 dengan dua penjamin dan pasport diserahkan kepada mahkamah.

Kedua-duanya turut dikehendaki melaporkan diri di Pejabat SPRM Labuan awal minggu pada setiap bulan.

Mahkamah menetapkan 10 April sebagai tarikh sebut semula kes.

Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwaraya Rozanna Abdul Hadi dan Rustam Sanip. – Sarawakvoice