Kerana nikmat RM165, dua wanita derita RM3,500 dalam tawaran rumah urut di Padungan

KUCHING: “Bayar RM165 untuk khidmat seks” menyebabkan dua wanita tempatan diarahkan membayar denda RM3,500 setiap seorang oleh Mahkamah Majistret Kuching pagi tadi.

Kedua-duanya mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan Timbalan Pendakwaraya Mohd Filanny Siji di hadapan Majistret Zulhairil Sulaiman.

Tertuduh sebelum itu ditangkap dalam satu serbuan di sebuah pusat refleksologi di Jalan Petanak dekat sini, sekitar jam 6 petang pada 2 Februari lalu.

Kedua-duanya didakwa mengemukakan tawaran RM165 untuk bayaran aktiviti persundalan kepada dua anggota polis yang menyamar.

Pusat tersebut kemudian diserbu oleh sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah daripada Ibu Pejabat Kontijen Sarawak sebelum kedua-dua tertuduh dan dua rakannya yang lain ditahan.

Kedua-dua tertuduh tersebut berusia 29 dan 41 tahun berasal dari Sibu dan Bintulu.

Pendakwaan dilakukan di bawah Seksyen 372B Kanun Keseksaan kerana mencari langganan bagi maksud persundalan. – Sarawakvoice