LUNDU: Keputusan penuh Pilihan Raya Kecil DUN Tanjung Datu dijangka diketahui seawal jam 8 malam, kata Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Seri Hashim Abdullah.

Menurutnya, berdasarkan rekod dan pengalaman lalu, pihaknya tidak menjangkakan sebarang masalah di kawasan tersebut.

“Paling jauh adalah SK Telok Melano, dan perjalanan ke sana adalah sekitar 45 ke 60 minit menggunakan laluan laut.

“Bagaimanapun kerana jumlah pemilihnya yang tidak ramai, ia mungkin ditutup awal.

“Ada antara pusat yang ditutup seawal jam 12 tengah hari tetapi kebanyakannya jam 5 petang,” katanya pada sidang media selepas proses penamaan calon pilihan raya tersebut.

Pilihan raya kecil ini akan menggunakan Daftar Pemilih Suku Ketiga 2016 dengan jumlah pemilih seramai 9,859 orang.

Untuk itu, kata Hashim,SPR menggerakkan seramai 250 petugas untuk menjayakannya dengan biaya menjangkau RM900 ribu.

“Ini untuk memastikan kelancaran proses pengundian di 27 saluran di 17 pusat pengundian pada 18 Februari depan, dengan 188 pemilih akan melakukan undian awal pada 14 Februari.

Pilihan raya kecil ini diadakan susulan kematian penyandangnya, Tan Sri Adenan Satem pada 11 Januari lalu.

Seramai tiga calon telah mengemukakan borang pencalonan dan diterima bertanding iaitu Puan Sri Jamilah Anu (Barisan Nasional), Rapelson Richard Hamit (PBDS Baru) dan Johnny Akot (STAR). – Sarawakvoice