Pegawai dan anggota polis dibelenggu masalah hutang agak serius

DUNGUN: Ramai pegawai dan anggota polis di negara ini dibelenggu masalah hutang yang agak serius ekoran tindakan mereka membuat pinjaman di luar kemampuan.

Timbalan Pengarah Pengurusan (Latihan) Polis Diraja Malaysia (PDRM) DCP Datuk T. Narenasagaran berkata sesetengahnya terpaksa mengalami pengurangan gaji sehingga 40 peratus dan ada yang dinasihatkan supaya tidak mengambil terlalu banyak pinjaman.

“Kami mahu anggota dan pegawai polis tidak terlalu banyak berhutang yang menyebabkan mereka sukar mengurus kewangan dengan baik.

“Kita jangan terikut-ikut kehendak keluarga, isteri dan anak-anak untuk mendapatkan sesuatu, sedangkan sebenarnya kita tidak mampu berbuat demikian,” katanya kepada pemberita selepas majlis perbarisan tamat latihan kursus asas konstabel sokongan PDRM di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Dungun di sini hari ini.

Beliau berkata biasanya setiap anggota atau pegawai polis yang hendak membuat pinjaman, mereka mesti memaklumkan dan mendapat kelulusan ketua mereka terlebih dahulu manakala hutang mereka akan tercatat di dalam slip gaji mereka.

Narenasagaran berkata yang menjadi masalah ialah mereka meminjam secara peribadi tanpa diketahui ketua mereka.

“Ketua Polis Negara telah mengingatkan pegawai dan anggota PDRM tentang masalah keberhutangan yang serius dalam kalangan mereka sehingga menyebabkan mereka menghadapi masalah menguruskan kewangan peribadi,” katanya.

Sementara itu ketika berucap pada majlis berkenaan beliau menyarankan kepada pelatih supaya sentiasa mengamalkan konsep pembelajaran sepanjang hayat bagi memperbaiki segala kelemahan diri untuk melahirkan anggota polis yang berkemampuan, berdedikasi dan berwibawa.

Pada majlis tamat latihan itu 199 pelatih menjalani latihan asas konstabel sokongan bermula pada 2 Okt lepas hingga hari ini.

Sepanjang empat bulan itu, pelatih didedahkan dengan pembelajaran undang-undang serta kaedah berkesan tentang pembelajaran keselamatan, pencegahan jenayah, penggunaan dan keselamatan senjata api.

Pada majlis itu tiga pelatih muncul sebagai pelatih terbaik iaitu Konstabel Mohamad Hairul Azmeer Mohd Nasir, 22, dari Machang, Kelantan dinobat Pelatih Terbaik Akademik; manakala Mohamad Faizal Abdullah, 27, dari Senai, Johor Pelatih Terbaik Keseluruhan; dan Makhzan Mukhtar, 27, dari Kuantan, Pahang sebagai Pelatih Terbaik Latihan Luar.