SRI AMAN: Gagal mengawal kenderaan hingga terbabas ke laluan bertentangan menjadi perkara terakhir dilakukan oleh seorang lelaki, sebelum kenderaan Perodua Viva yang dipandunya dirempuh sebuah lori di Kilometer 35 Jalan Sri Aman-Kuching pada Jumaat.

Menurut Pemangku Timbalan Ketua Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Negeri, Asisten Superintendan Mathew Manggie, insiden berlalu sekitar jam 9 malam ketika kenderaan Perodua Viva itu sedang dalam perjalanan ke Kuching dari Sri Aman.

“Setibanya di lokasi, mangsa yang memandu berseorangan terbabas ke laluan sebelah menyebabkan pemandu lori jenis Hino 500 berusia 42 tahun yang sedang bergerak ke Sri Aman gagal mengelak.

“Akibat pertembungan berdepan itu, kenderaan Perodua Viva itu remuk teruk manakala pemandunya tersepit, sebelum disahkan maut oleh paramedik bertugas.

Identiti mangsa katanya, dikenal pasti sebagai Jackson Ngali Sigan, 29 tahun dari Rumah Ngumbang, Nanga Sumpa, Lubok Antu.

Mayat mangsa kemudiannya dibawa menggunakan kenderaan polis ke rumah mayat Hospital Sri Aman, dan pihak keluarganya telah dimaklumkan.

Pemandu lori bagaimanapun hanya cedera ringan manakala kelindannya tidak mengalami apa-apa kecederaan.

Kata Mathew, siasatan lanjut kes masih berjalan dan disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – Sarawakvoice

viva maut00 viva maut02