Thursday, December 9, 2021

Kerjasama perpaduan UMNO-Pas perlu liputi semua peringkat – Tok Pa

Secara Rawak

TANAH MERAH: Kerjasama antara UMNO dan PAS dalam aspek perpaduan ummah perlu melibatkan penyertaan semua peringkat terutamanya dalam kalangan anggota masing-masing, kata Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan itu berkata perpaduan ummah pada peringkat akar umbi penting dalam usaha menyatukan dan mengukuhkan lagi perpaduan umat Islam di negara ini.

“Tak guna kita di peringkat tertinggi (bekerjasama) tapi kita lupa untuk ketepikan perbezaan di peringkat bawah, di peringkat kampung kita masih berseteru (antara satu sama lain),” kata Mustapa yang juga Anggota Majlis Tertinggi UMNO.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Kursus Kepimpinan Khas Mahasiswa Kelantan Siri 5 di Pondok Moden di sini, hari ini.

Program itu yang disertai kira-kira 200 mahasiswa beberapa universiti awam turut dihadiri Presiden Himpunan Siswazah Kelantan Datuk Mohd Faizal Daud.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bersama-sama Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menyempurnakan pelepasan kapal ‘Nautical Aliya’ yang membawa misi bantuan kemanusiaan ‘Food Flotilla for Myanmar’ di Boustead Cruise Centre di Pelabuhan Klang.

Perdana Menteri berkata misi ‘Food Flotilla for Myanmar’ itu melambangkan penyatuan ummah di Malaysia berikutan terdapat wakil UMNO dan PAS dalam misi berkenaan.

Mustapa yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata kehadiran pemimpin UMNO dan PAS pada pelepasan misi bantuan kemanusiaan semalam menunjukkan keikhlasan kedua-dua parti bekerjasama demi kepentingan umat Islam.

“Kita rugi besar kalau kita bertelagah, berpecah, fitnah-memfitnah, tuduh-menuduh antara satu sama lain.

“Kita harap agar umat Islam perlu insaf dan sedar bahawa pentingnya perpaduan dan kita harap apa yang berlaku antara PAS dan UMNO (ketika ini) adalah demi Islam dan perpaduan (ummah),” katanya.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru