KOTA KINABALU: Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kota Kinabalu Laksamana Pertama Maritim Adam Aziz mengesahkan, nelayan tempatan menjumpai satu mayat wanita tersangkut pada pukat tunda mereka sekitar 9.25 pagi Sabtu.

Mayat wanita berbaju merah dan berseluar hitam ditemui di perairan antara Pulau Mengalum dengan Pulau Tiga pagi Sabtu.

Menurut Adam mengikut laporan Bernama, mayat yang ditemui pada kedudukan lapan batu nautika barat daya Pulau Mengalum, 13 batu nautika timur laut dari tempat bot karam diserahkan kepada pasukan mencari dan menyelamat (SAR).

Pada 2.15 petang mayat berkenaan tiba di Hospital Queen Elizabeth untuk dibedah siasat.

Dalam tragedi 10 pagi Sabtu lepas, bot pelancong jenis katamaran yang membawa 28 pelancong warga China dan tiga anak kapal, karam dipercayai akibat angin kencang dan ombak besar semasa dalam perjalanan ke Pulau Mengalum, 56 km di barat laut Kota Kinabalu.

Setakat ini, 20 pelancong China dan dua kru diselamatkan, tiga warga China maut dan enam masih hilang.

mayat pukat01

Operasi SAR masuk hari kelapan pada Sabtu dan usaha mencari enam mangsa yang masih hilang dilakukan di kawasan seluas 1,900 batu nautika persegi.

Pencarian membabitkan perairan Sabah dan Miri, Sarawak serta Brunei Darussalam itu melibatkan 16 aset masing-masing empat kapal, tujuh bot dan lima pesawat udara.

Dalam tragedi 10 pagi Sabtu minggu lepas, bot jenis katamaran yang membawa 28 pelancong warga China dan tiga anak kapal karam dalam perjalanan menuju  Pulau Mengalum, 56 km di barat laut Kota Kinabalu.

Setakat ini 25 mangsa dijumpai termasuk tiga yang maut.

Dalam perkembangan lain, tekong bot dijatuhi hukuman penjara enam bulan oleh Mahkamah Sesyen pada Sabtu selepas mengaku bersalah membawa muatan melebihi had dibenarkan.

Sharezza Salian, 26, mengaku melakukan kesalahan itu di jeti Pondok Hentian Rehat di Lorong Tun Mustapha, Kampung Tanjung Aru Lama, sekitar 9.15 pagi 28 Januari lalu.

Sharezza dituduh mengikut Seksyen 282 Kanun Keseksaan dibaca menurut Seksyen 34 Kanun Keseksaan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Ainul Shahrin Mohamad.

mayat pukat03

Timbalan Pendakwa Raya Aida Fatimah Abd Jabar berkata kesalahan Sharezza melibatkan kepentingan awam dan hukuman perlu mengambil kira faktor berkenaan melebih kepentingan tertuduh.

Fatimah berkata hukuman perlu diambil sebagai pengajaran kepada pengendali bot pelancong yang lain agar sentiasa mematuhi peraturan dam tidak tamak mengejar keuntungan.

Ainul Shahrin turut menetapkan Isnin esok untuk sebutan semula kes pemilik syarikat bot karam yang tuduh bersama-sama Sharezza mengikut Seksyen 282 Kanun Keseksaan selepas tertuduh gagal memahami pertuduhan yang dibacakan terhadapnya.

Mahkamah memerintah agar Leong Vin Jee, 43, yang diwakili peguam Edward Paul, dibebas dengan ikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin tempatan serta pasportnya diserahkan kepada mahkamah. – Sarawakvoice

mayat pukat02