Saturday, December 3, 2022

Pembangunan intelektual perlu diperkasa seimbang dengan pembangunan fizikal negara — Chee Kadir

Secara Rawak

KABONG: Pembangunan infrasruktur berkelas pertama tidak akan memberi makna jika pemikiran masyarakat kita hanya berada di kelas ketiga dan masih mundur serta jauh terkebelakang.

Ahli Dewan Undangan Negeri ( ADUN ) N.40 Kabong, Mohd Chee Kadir berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Anugerah Pelajar Cemerlang Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Kokurikulum Untuk Tahun 2015 dan 2016 bertempat di di Dewan SJK Chung Hua Kabong hari ini.

Menurut Chee, pendidikan merupakan satu elemen penting dalam menyediakan modal insan yang akan menjadi generasi pelapis untuk masa akan datang.

“Kerajaan kita sentiasa memberi penekanan dalam memperkasa pendidikan di negara ini dengan merangka dan melaksana pelan pembangunan pendidikan agar ia selari dengan acuan pendidikan yang kita ingini dan setaraf dengan pendidikan di negara maju.

“Transformasi pendidikan negara seperti yang terkandung dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 dilaksanakan yang dilaksanakan dalam tiga gelombang membuktikan kesungguhan kerajaan dalam memastikan penduduk negara ini mendapat pendidikan yang terbaik.

“Jadi, menjelang akhir Gelombang 1, kementerian akan memastikan semua guru, pengetua,guru besar dan sekolah mencapai tahap minimum standard kualiti yang dihasratkan,”ujarnya.

Menurut Chee, Gelombang 3 (2012-2025) akan memfokus kepada anjakan ke arah kecemerlangan dengan peningkatan keluwesan operasi, di mana pada permulaan gelombang ini, semua sekolah, guru dan pengetua/guru besar perlu menunjukkan prestasi melebihi standard minimum.

Kata Chee lagi, warga pendidik pada masa kini berdepan dengan pelbagai cabaran dan ia menagih komitmen tinggi para guru dalam memastikan cabaran itu tidak menjadi kekangan untuk mencipta kecemerlangan di sekolah.

Jelasnya, pemimpin sekolah perlu selalu berpaksi kepada Visi Sekolah, Pendidikan Berkualti Insan Terdidik Negara Sejahtera dan Misi Sekolah, Melestarikan Sistem Pendidikan Yang Berkualiti Untuk Membangunkan Potensi Individu Bagi Memenuhi Aspirasi Negara.

“Saya menyebut perkara-perkara tersebut bukan kerana guru-guru tidak tahu tentang perkara berkenaan tetapi ia sebagai ingatan mesra saya sebagai pemimpin di kawasan ini kepada semua warga pendidik.

“Saya juga perlu memastikan aspek pendidikan ini diberi penekanan dan perhatian sewajarnya selain daripada kita memberi fokus kepada pembangunan infrastruktur di kawasan kita,” katanya.

Beliau berharap pihak ibu bapa dan masyarakat setempat akan bekerjasama dengan pihak sekolah dalam memastikan pendidikan terbaik dapat diberikan kepada anak-anak.

Katanya, semua pihak harus memainkan peranan masing-masing untuk memastikan gejala sosial dapat dibendung dan tidak terus menjadi masalah dalam masyarakat kita.

Masyarakat katanya perlu bersatu tenaga dengan pihak yang berkenaan dalam membanteras gejala ini daripada terus merosakkan generasi muda.

Beliau seterusnya mengucapkan tahniah kepada seluruh warga jabatan pendidikan yang telah sama – sama bersatu hati dalam melaksanakan tugas dalam memartabatkan pendidikan di daerah ini. Tanpa guru-guru serta warga jabatan katanya perancangan itu tidak akan menjadi kenyataan.

Seramai 44 orang penerima anugerah terlibat dalam majlis itu yang membabitkan pencapaian terbaik UPSR 2015/2016 dan juga yang cemerlang dalam bidang kokurikulum di daerah Saratok (sekolah menengah dan rendah).

Chee berharap anugerah yg diterima akan menjadi pendorong untuk mencipta kejayaan yang lebih cemerlang pada masa yang akan datang.

Hadir sama Pegawai Pendidikan Daerah Saratok, Supian Ekeram, Pengerusi MGB Daerah Saratok, Haji Bujang Haji Lee, pengetua ,penghulu, guru besar serta ibu bapa dan penerima anugerah. – Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru