BN bakal “kenduri besar” di Tanjung Datu

0
3

KUCHING: Barisan Nasional tidak menjangkakan sebarang masalah dalam menghadapi saingan tiga penjuru di antara parti PBDS Baru dan STAR.

Menurut penganalisis politik, Profesor Madya Dr Jeniri Amir, kedua-dua calon yang menyaingi Puan Sri Jamilah, 62 tahun bukanlah nama besar malah bukan anak tempatan atau mereka yang pernah berkhidmat untuk rakyat di Tanjong Datu.

“Bertanding sekadar untuk memeriahkan pesta pilihan raya. Namun ia bukan sesuatu yang perlu dilihat selesa,” katanya lagi.

Dalam proses penamaan calon sebentar tadi, calon BN, Puan Sri Jamilah Anu disaingi calon PBDS Baru Rapelson Richard Amit dan STAR, Johny Akot.

Menurut Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Hamsen Ata, pencalonan seorang lagi calon, Asbor Abdullah, ditolak kerana belum bebas daripada status muflis.

Asbor yang berasal dari Matu Daro sebelum ini pernah bertanding sebanyak sembilan kali.

Sementara itu, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya, Datuk Seri Hashim Abdullah berkata, beliau gembira dengan proses penamaan calon yang berjalan lancar tanpa sebarang gangguan dan provokasi melampau.

“Sarawak sentiasa tenang dan tidak mendatangkan masalah. Paling aman,” katanya lagi.

DUN Tanjong Datu mempunyai 9,859 pemilih yang akan mengundi di 17 pusat dan 27 saluran mengundi.

Bagi menjayakan pilihan raya ini, SPR menggunakan khidmat 250 petugas dan membelanjakan sekitar RM900 ribu.

Keputusan dijangkakan akan diketahui sekitar jam 8 malam, dengan proses pengundian berakhir di antara jam 12 tengah hari hingga 5 petang. – Sarawakvoice