Abang Johari tunai janji Adenan, hulur bantuan RM6 juta untuk sekolah Cina

MIRI: Ketua Menteri Sarawak Datuk Amar Abang Johari Tun Openg menunaikan janji Allahyarham Tan Sri Adenan sebelum ini, mengumum memberi bantuan kewangan berjumlah RM6 juta kepada sekolah Cina di Sarawak.

Sebelum pemergian Adenan, beliau pernah berjanji sekiranya diberi mandat menerajui Sarawak, bantuan untuk sekolah Cina bertambah RM6 juta tahun berikutnya dan lebih besar lagi sehingga RM10 juta bagi tempoh lima tahun akan datang.

Adenan mengungkap janji tersebut pada majlis penyerahan geran RM5 juta di Bintulu pada Mac 2016.

Abang Johari mengumumkan bantuan kewangan tersebut pada majlis makan malam sempena sambutan Tahun Baru Cina anjuran Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Miri dan jawatankuasa perhubungan Parlimen Sibuti.

Abang Johari berkata, “selagi saya Ketua Menteri Sarawak, saya akan menyokong sekolah Cina di Sarawak dan mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersatu (UEC),” katanya.

UEC membolehkan pemegangnya memohon jawatan dalam perkhidmatan awam dan badan berkanun di Sarawak.

Pada zaman Adenan, pemegang UEC yang mendapat tempat di mana-mana universiti diiktiraf di Malaysia boleh memohon biasiswa Yayasan Sarawak.

Pemegang UEC dengan lulus peringkat SPM tanpa melalui Unit Pusat Universiti (UPU) turut layak melanjut pengajian terus ke Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Cawangan Sarawak.

Selain Sarawak, kerajaan Pulau Pinang turut mengiktiraf sijil ini.

Berkaitan bantuan tersebut, Abang Johari menyifatkan sumbangan diberikan kerana sekolah Cina di Sarawak bukan eksklusif untuk masyarakat Cina semata-mata, sebaliknya pelbagai kaum termasuk Bumiputera turut menuntut ini di sekolah Cina.

Setakat ini, 60 hingga 80 peratus pelajar terdiri daripada Melayu, Dayak dan Bumiputera lain belajar di sekolah aliran Cina di Sarawak.

Menurut Abang Johari, terdapat pelajar Melayu yang belajar di sekolah Cina di dalam kawasan beliau, Dewan Undangan Negeri Satok, di Kuching yang telah lulus universiti di Guangzhu, China.

Beliau turut menambah, selain bahasa Inggeris dan Melayu, Kerajaan Negeri mahu rakyat turut menguasai bahasa Mandarin.

Pada 2016, Allahyarham Tan Sri Adenan Satem menyerahkan geran RM5 juta kepada lembaga pengurusan sekolah Cina.

Sementara, Adenan pernah memberi bantuan kepada sekolah Cina sebelum ini iaitu RM4 juta pada 2015 dan RM3 juta pada 2014. – Sarawakvoice