Polis tangkap Jamal baju merah, didakwa ceroboh, ambil barang premis hiburan

KUALA LUMPUR: Pengerusi Gerakan Baju Merah yang terkenal dengan sikap provokasi dan kontroversi, Datuk Seri Jamal Yunos ditahan polis atas dakwaan menceroboh dan kehilangan beberapa barang milik premis sebuah pusat hiburan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor SAC Fadzil Ahmat berkata Jamal ditahan petang tadi di kediamannya bagi membantu siasatan berhubung dakwaan beberapa barang milik premis berkenaan dilaporkan hilang.

Menurut Bernama, Fadzil mengakui polis menerima beberapa laporan berkaitan perkara ini.

Fadzil berkata permohonan reman akan dilakukan hari ini.

Selain Jamal, sembilan lagi yang lain bersama-samanya menyerbu premis hiburan yang didakwa menjalankan kegiatan judi di Ampang Disember 2016, ditahan polis untuk siasatan.

Polis mengepung tiga jam rumah beliau di Ampang pada Khamis, sebelum melakukan penangkapan.

Jamal yang juga Ketua Umno Bahagian Sungai Besar, keluar menunggang motosikal dari pekarangan rumahnya sekitar 3 petang.

Beliau dilihat masuk ke dalam kereta polis dan dibawa ke balai polis Ampang.

Jamal dijadualkan mengadakan sidang media di luar pekarangan ibu pejabat polis kontinjen Ampang pada 3 petang.

Sebelum ditangkap, Jamal mengakui rakannya yang lain ditahan berikutan aduan orang awam berkaitan operasi perjudian haram di Ampang Jaya.

Sebelum ini Jamal pernah membawa 10 katil bujang berserta bantal bertulis “Rumah Urut Selangorku” ke bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Selangor.

Pada tilam tersebut turut tertera tulisan “Dapat Ais Krim Percuma (D.A.P).”

Jamal menaiki motosikal berkuasa tinggi membawa tong ais krim dengan nama “Ais Krim Azmin” berserta slogan “Sekali rasa pasti hendak lagi”.

Pada 21 Disember 2016, Jamal pernah ke bangunan yang sama dengan hanya memakai tuala sambil membawa gayung, sabun dan berus gigi, sebagai tanda memprotes kerajaan negeri berikutan isu bekalan air di Selangor.

Jamal sebelum ini pernah datang ke Pejabat Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) dengan mukanya bercat merah kuning, memohon jawatan presiden FAS selain berjanji akan membangunkan pasukan bola sepak Selangor. – Sarawakvoice