Tan Sri Annuar Musa: Segera lakukan siasatan terhadap saya

KUALA LUMPUR: Tan Sri Annuar Musa berkata, beliau bersiap sedia untuk memberi keterangan kerana yakin berada di pihak yang benar, justeru meminta agar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan PDRM segera melakukan siasatan terhadapnya berhubung dakwaan penyelewengan dan salah guna kuasa.

Menerusi  catatan di laman Facebooknya, Ketua Penerangan Umno itu menegaskan bahawa perkhidmatannya di Majlis Amanah Rakyat (Mara) merupakan satu amanah.

“Perkhidmatan saya di Mara adalah satu amanah yang saya junjung tinggi. Pendirian saya dalam banyak perkara berkaitan tatakelola dan integriti memang tidak disenangi. Justeru saya sendiri tidak terkecuali,” katanya dalam catatan itu sebagai reaksi terhadap tindakan  penggantungan daripada jawatan Pengerusi Mara dan Pengerusi Pelaburan Mara Bhd (PMB) berkuat kuasa serta-merta.

Annuar digantung tugas berikutan daripada isu tajaan bola sepak oleh PMB buat skuad Kelantan.

“Saya cadangkan agar PDRM dan SPRM segera menyiasat seperti yang pernah saya syor kepada Ahli Majlis Mara dalam grup WhatsApp minggu lalu.

Sementara itu mengulas mengenai soal tajaan pasukan Kelantan yang dibangkitkan, katanya elok ianya disiasat badan bebas dan berwajib.

“Saya akan berikan sepenuh kerjasama insya-ALLAH,” katanya.

SPRM telah membuka satu kertas siasatan bagi menyiasat dakwaan penyelewengan dan salah guna kuasa Annuar.

SPRM  dalam satu kenyataan berkata, pihaknya akan berkerjasama dengan bahagian audit dalaman Mara bagi menyiasat isu tersebut.

“Ingin ditegaskan bahawa siasatan SPRM hanya tertumpu kepada isu rasuah dan salah guna kuasa membabitkan penglibatan beliau dalam penajaan bola sepak Kelantan,” katanya  dalam kenyataan media. – Sarawakvoice