KUALA LUMPUR: Perogol bersiri, Selva Kumar Subbiah  tidak akan dibiarkan lepas bebas sekembalinya ke negara ini Ahad ini selepas menjalani hukuman penjara  24 tahun di Kanada.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar memberi jaminan, pihak polis akan memantau  pergerakan Selva demi kesemalatan wanita di negara ini apabila kembali ke tanah air berdasarkan rekod jenayah dan perundangan serta bidang kuasa yang dimilikinya.

Kerajaan Kanada  difahamkan akan menghantar pulang Selva ke Malaysia pada Ahad ini

Selva  bakal diiringi pegawai imigresen Kanada.

Selva yang datang ke Kanada sebagai pelajar pada 1980 disabitkan kesalahan merogol berpuluh-puluh wanita di Toronto dengan berlagak sebagai penari profesional dan penerbit filem.

“Pihak polis juga akan mengambil keterangan daripada Selva Kumar. Kami akan meminta rekod Selva Kumar daripada pihak berkuasa Kanada,” kata Khalid.

Selva Kumar didapati bersalah dalam dua perbicaraan berasingan lebih dua dekad lalu kerana memberikan dadah dan melakukan serangan seksual terhadap 30 wanita.

Ketika pendengaran pada Jun 2016, Selva didapati tidak layak untuk parol kerana dianggap ‘mungkin akan melakukan sesuatu kesalahan yang menyebabkan kematian atau kemudaratan yang serius kepada orang lain.’ – Sarawakvoice