Abg Jo tetap iktiraf sijil sekolah Cina, bantuan kewangan diteruskan

SIBU: Ketua Menteri Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg berkata, selain meneruskan polisi Allahyarham Tan Sri Adenan Satem menuntut hak Sarawak, beliau tetap meneruskan dasar mengiktiraf UEC (Sijil Peperiksaan Bersepadu).

Beliau juga berjanji meneruskan pemberian bantuan kewangan kepada sekolah Cina.

Bercakap pada Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina anjuran Gabungan Persatuan Cina Sibu, pada Selasa malam Abang Johari berkata beliau kini dengan beberapa perubahan dan penyesuaian turut meneruskan polisi yang ada.

Bagi Abang Johari, dua bekas Ketua Menteri, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud dan Adenan telah menyediakan asas yang kukuh bagi penerusan kepemimpinan beliau meneraju politik Sarawak.

Abang Johari berkhidmat di bawah kepemimpinan Taib bermula 1983.

Dalam ucapannya beliau berjanji meneruskan polisi yang memberi faedah kepada Sarawak termasuk ekonomi dan kestabilan.

Abang Johari percaya kestabilan politik dan perpaduan kaum serta masyarakat yang muhibah menjadi asas membantu Sarawak terus cerah melangkah maju ke hadapan. – Sarawakvoice